KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut selepas kereta Perodua Myvi yang dipandunya merempuh belakang sebuah lori treler 40 kaki dalam satu kemalangan di Lebuhraya Damansara menghala ke Puchong awal pagi, pada Selasa.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.18 pagi.

Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong bersama tujuh anggota, bergegas ke lokasi sejauh 5.8 kilometer dan tiba pada jam 3.32 pagi. 

“Sebaik tiba, pasukan mendapati sebuah kereta Perodua Myvi telah melanggar belakang sebuah lori treler, mengakibatkan seorang lelaki tersepit di dalam kenderaan.

"Pasukan bomba segera melaksanakan kerja-kerja menyelamat dan mengeluarkan mangsa,” kata jurucakap JBPM. 

Bagaimanapun katanya, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian.