Ringkasan AI
- Seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Taman Molek, Johor, selepas melepaskan tembakan ke arah polis yang cuba menahannya.
- Polis menemukan sepucuk pistol jenis 'Smith and Wesson', empat peluru hidup, dan dua kelongsong di lokasi kejadian. Suspek mempunyai 14 rekod jenayah dan dadah.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah dan dadah untuk menghubungi talian hotline polis Johor.
Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata dalam kejadian itu dua kenderaan polis yang sedang menjalankan rondaan telah mengesan sebuah motosikal jenis Honda Vario ditunggang lelaki tempatan berusia 63 tahun itu di kawasan Jalan Persiaran Bumi Hijau di taman berkenaan, dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata susulan itu, pasukan polis telah mengekori dan berjaya menahan motosikal tersebut di kawasan berhampiran.
"Bagaimanapun ketika pihak polis ingin turun bagi membuat pemeriksaan, penunggang motosikal itu telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah mereka menyebabkan polis membalas tembakan bagi mempertahankan diri.
"Hasil pemeriksaan mendapati lelaki terbabit telah terkena tembakan dan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Sultan Ismail di sini untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumar berkata pihaknya turut menemukan sepucuk pistol jenis 'Smith and Wesson' di atas jalan berhampiran suspek serta empat peluru hidup dan dua kelongsong.
"Semakan mendapati suspek mempunyai 14 rekod jenayah dan dadah termasuk satu rekod di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, satu rekod Akta Senjata 1960 serta satu rekod Masih Dikehendaki Polis.
"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971," katanya.
Beliau seterusnya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah dan dadah supaya menghubungi talian hotline polis Johor dengan menelefon 019-2792095 atau hubungi bilik gerakan di talian 07-2212999.
-- BERNAMA
