Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) Dr Ummi Kalthom Shamsudin berkata dua kes dikesan di Daerah Hulu Langat dan Sepang pada Januari manakala tiga lagi kes berlaku di Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Langat, masing-masing pada Februari.
"Daripada lima kes ini, tiga pesakit terdiri rakyat tempatan termasuk seorang Orang Asli manakala dua lagi pesakit ialah warga asing dengan kesemua kes tidak melibatkan kanak-kanak," katanya pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Lembaga Pelawat Hospital Selangor di sini hari ini.
Watikah pelantikan itu disampaikan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Dr Ummi Kalthom berkata situasi semasa penyakit berkenaan adalah terkawal dan semua pesakit stabil di bawah pemantauan petugas kesihatan di daerah masing-masing.
"Sebagaimana kita maklum, kusta adalah penyakit yang boleh dirawat menerusi rawatan moden termasuk pemberian ubat profilaksis untuk mencegah jangkitan bagi golongan yang terdedah kepada mereka yang disahkan positif, isolasi adalah tidak diperlukan.
"JKNS kini sedang meningkatkan kesedaran dalam pengamal perubatan sendiri untuk mampu mengenal pasti gejala kusta," katanya.
Semalam Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dilaporkan berkata seorang maut manakala lapan lagi Orang Asli dari Kampung Chergun dan Guntur Kuala Pilah disahkan dijangkiti penyakit itu.
-- BERNAMA
