KUALA LUMPUR: 'Redha, jangan duk fikir. Semua kita pinjaman"

Demikian titipan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kepada Muhammad Khairuddin Saari yang kehilangan isteri sedang hamil dan empat orang anaknya dalam kebakaran di Kampung Berangan Enam, Umbai, Jasin, awal pagi Khamis lalu.

Titipan itu melalui satu panggilan telefon yang dibuat Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim antara Wan Azizah dan Muhammad Khairuddin, yang dikongsikan di laman Instagram, pada Sabtu.

Wan Azizah turut memberikan kata-kata semangat dan meminta Muhammad Khairuddin supaya tabah dan redha dalam menghadapi ujian Allah S.W.T.

"Redha saja, redha. Allah takkan uji kita lebih daripada kita boleh tahan okay. Kuatkan semangat. Kuat nak (anak), kuat nak (anak)," katanya dalam panggilan telefon itu.

Sementara itu, dalam muat naik di media sosial itu, Adam Adli berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyampaikan salam serta ucapan takziah atas ujian berat dihadapi Muhammad Khairuddin.

Adam Adli turut sempat menziarahi Muhammad Khairuddin di Bemban bagi menzahirkan keprihatinan serta memberikan soongan moral kepada beliau yang sedang melalui detik sukar.

"Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

"Marilah sama-sama kita mendoakan agar Khairuddin cekal dan tabah dalam menghadapi ujian ini.

"Semoga roh mangsa kejadian dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman," kata Adam Adli.


Pada awal pagi Khamis, Astro AWANI melaporkan lima sekeluarga ditemukan rentung dalam kebakaran di Kampung Berangan Enam, Umbai, Jasin, Melaka.

Mangsa, Laila Fathinah Mustapa, 37, dan empat anaknya, Nur Damia Batrisyia Abdullah,13; Izz Daffa Hafizuddin, 7; Nur Dalilah Khadijah, 6, dan Izz Danish Fathi, 4, manakala suami kepada Laila, Muhammad Khairuddin Saari, 35, terselamat.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Mohamad Rusli Mat berkata, bapa kepada empat anak itu turut mengalami sesak nafas akibat menghidu kepulan tebal asap kebakaran.

Menurutnya, hasil soal siasat yang dijalankan terhadap lelaki itu mendakwa ketika kejadian dia sedang tidur sebelum dikejutkan oleh isterinya rumah mereka terbakar.

Katanya, lelaki terbabit berusaha menyelamatkan kesemua ahli keluarganya namun gagal kerana pergerakannya terbatas disebabkan kaki kanannya patah.

Difahamkan ketika kejadian, wanita itu ditemukan di bahagian serambi rumah manakala empat anaknya berada berhampiran pintu rumah dipercayai cuba keluar menyelamatkan diri.