KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini mengemukakan 10 syor kepada agensi Persekutuan bagi tujuan penambahbaikan.

Antara lain, Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi menyarankan agar dikaji semula hala tuju dan pelan perniagaan syarikat subsidiari yang mengalami kerugian dan tidak memberi pulangan sewajarnya.

Selain itu, ujarnya, agensi Persekutuan perlu memberi perhatian serius termasuk dengan bertindak menutup syarikat subsidiari berstatus dorman, atau tidak aktif, melebihi lima tahun.

"Dalam masa sama, (perlu) tindakan proaktif untuk meningkatkan kawalan dalaman agensi dan menambah baik sistem kewangan, sejajar dengan keperluan piawaian perakaunan yang diterima pakai, bagi memastikan pelaporan kewangan adalah tepat dan pengurusan tatakelola kewangan yang berkesan," katanya dalam laporan tersebut hari ini.

Syor lain adalah, memastikan keupayaan agensi Persekutuan untuk meneruskan operasi berdasarkan usaha berterusan dan mengurangkan liabiliti yang bersifat komitmen kewangan serta mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan.

LKAN 1/2025 mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2023 dibentangkan setelah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan ia merupakan pembentangan pertama bagi tahun ini.

Secara umum, LKAN melaporkan pengurusan kewangan dan tatakelola wang awam agensi Persekutuan, dan LKAN kali ini memberi tumpuan kepada tiga isu, iaitu Pengesahan Penyata Kewangan, Analisis Penyata Kewangan dan Fokus Utama Audit.

LKAN 1/2025 boleh dimuat naik di Laman Web Jabatan Audit Negara selepas pembentangan di Dewan Rakyat dan orang awam boleh melayarinya di alamat http://lkan.audit.gov.my.

Sebarang pertanyaan lanjut dan pandangan mengenai laporan itu boleh dialamatkan kepada [email protected].