Perkara itu antara Fokus Utama Audit dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini.
Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, sehingga 31 Dis 2023, tunggakan bayaran balik pinjaman pendidikan PTPTN adalah berjumlah RM10.853 bilion melibatkan 1.20 juta peminjam.
"Bayaran balik pinjaman pendidikan yang tertunggak juga menunjukkan peningkatan dari tahun 2019 hingga 2023," katanya dalam laporan tersebut.
Dalam masa sama, LKAN 1/2025 turut memfokuskan kepada usaha berterusan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) berdasarkan kedudukan kewangannya setakat 31 Disember 2023.
Laporan tersebut menyatakan kemampuan SWCorp menampung kos operasi dan komitmen kewangan pada masa hadapan adalah bergantung kepada tambahan bantuan kewangan Kerajaan Persekutuan.
Penurunan kecairan tunai SWCorp merekodkan sebanyak RM62.45 juta atau 22.3 peratus, manakala kebergantungan kepada geran kerajaan RM1.545 bilion (2023); RM1.498 bilion (2022); dan 1.487 bilion (2021).

LKAN 1/2025 juga memaklumkan pelaksanaan pengurusan Dana Penyelidikan Fundamental (DPF) oleh lima Universiti Penyelidikan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) memerlukan pemantauan secara berkala.
Ia bagi memastikan projek dilaksanakan mengikut perancangan dan mencapai Key Performance Indicator (KPI) yang ditetapkan.
"Laporan audit menunjukkan tahap kemajuan projek penyelidikan DPF berada pada tahap kurang memuaskan (53.9 peratus).
"Hanya 11.3 peratus projek yang dilaksanakan berada pada tahap baik, sementara 7.3 peratus dikategorikan sebagai bermasalah," kata laporan itu lagi.
LKAN 1/2025 mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2023 dibentangkan setelah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan ia merupakan pembentangan pertama bagi tahun ini.
Secara umum, LKAN melaporkan pengurusan kewangan dan tatakelola wang awam agensi Persekutuan, dan LKAN kali ini memberi tumpuan kepada tiga isu, iaitu Pengesahan Penyata Kewangan, Analisis Penyata Kewangan dan Fokus Utama Audit.
