Bagaimanapun, menurut Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, lima daripadanya menunjukkan jumlah liabiliti yang lebih tinggi berbanding jumlah aset.
Melalui laporan tersebut, beliau berkata sebanyak 98 daripada 142 agensi Persekutuan telah menerima geran berjumlah RM33.628 bilion daripada Kerajaan Persekutuan pada tahun 2023.
Ia terdiri daripada geran mengurus sejumlah RM16.305 bilion dan geran pembangunan sejumlah RM17.323 bilion, manakala 97 agensi Persekutuan mempunyai baki geran pembangunan berjumlah RM21.399 bilion.
"Daripada 142 agensi Persekutuan, 20 mempunyai pinjaman diterima berjumlah RM126.564 bilion daripada Kerajaan Persekutuan dan institusi kewangan.
"Lima daripadanya merupakan pinjaman yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan berjumlah RM99.058 bilion.
"Manakala empat agensi membuat pinjaman baharu berjumlah RM7.309 bilion pada tahun 2023," katanya dalam laporan tersebut.
Wan Suraya menambah, sebanyak 59 agensi Persekutuan mempunyai 217 syarikat subsidiari dengan pelaburan berjumlah RM65.145 bilion.
Daripada jumlah tersebut, 191 syarikat subsidiari berstatus aktif manakala 26 berstatus dorman.
"Tiga daripada 217 syarikat subsidiari merupakan syarikat baharu yang ditubuhkan dengan nilai pelaburan sejumlah RM85.96 juta.
"Sebanyak 131 (60.4 peratus) daripada 217 syarikat subsidiari telah mencatatkan keuntungan berjumlah RM4.087 bilion manakala baki 86 (39.6 peratus) syarikat subsidiari mengalami kerugian berjumlah RM2.810 bilion.
"Hanya 81 (37.3 peratus) daripada 217 syarikat subsidiari telah membayar dividen berjumlah RM2.829 bilion kepada 32 agensi Persekutuan pada tahun 2023.
"Daripada jumlah tersebut, 14 (17.3 peratus) telah membayar dividen berjumlah RM1.432 bilion kepada 10 agensi Persekutuan walaupun mengalami kerugian pada tahun semasa," jelas beliau lagi.
LKAN 1/2025 mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2023 dibentangkan setelah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan ia merupakan pembentangan pertama bagi tahun ini.
Secara umum, LKAN melaporkan pengurusan kewangan dan tatakelola wang awam agensi Persekutuan, dan LKAN kali ini memberi tumpuan kepada tiga isu, iaitu Pengesahan Penyata Kewangan, Analisis Penyata Kewangan dan Fokus Utama Audit.
Setakat 8 Januari 2025, sebanyak 142 daripada 145 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan bagi tahun 2023 telah dikemukakan untuk pengesahan Ketua Audit Negara dan telah selesai pensijilan.
Namun, tiga agensi yang belum mengemukakan penyata kewangan untuk pengesahan Ketua Audit Negara adalah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (LABUAN FSA), Tabung Kebajikan Kakitangan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (TLFSA) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).
