Skip to main content

Malaysia

Gangguan TuJu: LLM, PCSB giat pulih, tambah baik sistem

TuJu yang diperkenalkan pada 26 November 2025 merupakan aplikasi navigasi lebuh raya yang dibangunkan PCSB dengan kerjasama LLM.
TuJu yang diperkenalkan pada 26 November 2025 merupakan aplikasi navigasi lebuh raya yang dibangunkan PCSB dengan kerjasama LLM.

Advertisement

Ringkasan AI

  • LLM dan Prosignal Consortium Sdn. Bhd. sedang memulihkan serta menambah baik aplikasi navigasi TuJu selepas gangguan teknikal akibat peningkatan pengguna.
  • Penambahbaikan meliputi kestabilan sistem, ketepatan maklumat, fungsi navigasi dan keupayaan aplikasi bagi memenuhi keperluan pengguna lebuh raya.
  • LLM bekerjasama dengan KKR, NACSA dan pihak berkaitan untuk memperkukuh ekosistem navigasi tempatan, termasuk aspek keselamatan siber dan tadbir urus data.

KUALA LUMPUR: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bersama penyedia aplikasi, Prosignal Consortium Sdn. Bhd. (PCSB), sedang giat melaksanakan usaha pemulihan dan penambahbaikan aplikasi navigasi tempatan, TuJu, susulan gangguan teknikal selepas peningkatan ketara jumlah pengguna.

LLM dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, peningkatan itu berlaku susulan saranan Perdana Menteri supaya orang ramai mempertimbangkan penggunaan aplikasi navigasi tempatan.

Sehubungan itu, LLM memohon maaf atas kesulitan yang dialami pengguna dan sedang bekerjasama dengan PCSB untuk mengenal pasti punca gangguan, memulihkan kestabilan sistem serta meningkatkan keupayaan aplikasi bagi menampung pertambahan pengguna.

Menurut LLM, maklum balas orang ramai berhubung fungsi navigasi, ketepatan maklumat laluan dan pengalaman penggunaan turut diberi perhatian.

Penambahbaikan akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan TuJu menyediakan perkhidmatan yang lebih stabil, tepat dan mesra pengguna.

TuJu yang diperkenalkan pada 26 November 2025 merupakan aplikasi navigasi lebuh raya yang dibangunkan PCSB dengan kerjasama LLM.

Selain menyediakan maklumat perjalanan, aplikasi itu turut menawarkan maklumat keadaan trafik, kemudahan dan bantuan kecemasan bagi memenuhi keperluan pengguna sepanjang perjalanan.

LLM menegaskan bahawa usaha memperkukuh aplikasi berkenaan bukan sahaja tertumpu kepada kestabilan sistem, malah merangkumi peningkatan fungsi navigasi, ketepatan maklumat dan keupayaan aplikasi dalam memenuhi keperluan pengguna.

Dalam pada itu, LLM akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya (KKR), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan pihak berkaitan bagi memperkukuh ekosistem navigasi tempatan, termasuk aspek keselamatan siber dan tadbir urus data.

LLM turut menghargai kesabaran serta maklum balas orang ramai dan memberi jaminan bahawa isu yang dibangkitkan akan diteliti secara serius.

Maklumat lanjut mengenai status pemulihan dan penambahbaikan aplikasi akan disalurkan menerusi saluran rasmi LLM dan TuJu.

 

 

Must Watch Video

Advertisement