Skip to main content

Malaysia

Mahkamah Persekutuan kekal hukuman penjara 30 tahun dua lelaki bunuh kenalan

Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 30 tahun yang dijatuhkan ke atas dua lelaki kerana membunuh seorang kenalan mereka 11 tahun lepas. - Gambar fail
Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 30 tahun yang dijatuhkan ke atas dua lelaki kerana membunuh seorang kenalan mereka 11 tahun lepas. - Gambar fail
Advertisement

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 30 tahun yang dijatuhkan ke atas dua lelaki kerana membunuh seorang kenalan mereka 11 tahun lepas.

Panel tiga hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat keputusan itu selepas menolak rayuan bekas pekerja kilang, L.Gopu, 45, dan bekas pengendali jentera berat, V Suresh, 46, terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengembalikan pertuduhan membunuh ke atas mereka.

Kedua-dua lelaki, yang turut dikenakan 12 kali sebatan, diperintah menjalani hukuman penjara mulai tarikh mereka ditangkap, iaitu masing-masing pada 24 dan 25 Sept 2015.

Advertisement

“Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila mengurangkan pertuduhan daripada membunuh kepada kesalahan menyebabkan kematian,” katanya sambil menambah Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan yang tepat dengan mengembalikan pertuduhan membunuh terhadap kedua-dua perayu.

Beliau berkata keterangan menunjukkan bahawa kedua-dua tertuduh bertindak bersama-sama dan terlibat dalam menyebabkan kecederaan terhadap si mati.

Advertisement

Wan Ahmad Farid, yang bersidang bersama-sama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Azimah Omar, juga berkata kegagalan kedua-dua tertuduh memfailkan rayuan balas terhadap dapatan Mahkamah Tinggi bermakna mereka menerima dapatan itu.

Beliau berkata rayuan itu tidak mempunyai merit dan perintah agar pertuduhan membunuh dikembalikan adalah kekal.

Gopu dan Suresh pada asalnya didakwa membunuh Aris Nakam, 41, di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung SC, Layang-Layang, Kluang, Johor pada 6.30 petang 13 Sept 2015, dan di akhir kes pendakwaan, Mahkamah Tinggi memerintahkan mereka membela diri.

Bagaimanapun, selepas mendengar kes pembelaan, Mahkamah Tinggi mensabitkan mereka dengan kesalahan lebih ringan, iaitu menyebabkan kematian dan menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun ke atas setiap tertuduh.

Pada 3 Sept tahun lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan pendakwaan untuk mengembalikan pertuduhan asal, iaitu membunuh terhadap mereka serta menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dengan 12 sebatan terhadap Gopu dan Suresh.

Keputusan itu menyebabkan kedua-dua tertuduh mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Pada prosiding hari ini, peguam Datuk N. Sivananthan dan Nabila Habib mewakili Gopu manakala Suresh diwakili peguam Anita Vijaya Rajah serta V. Ramesh, dan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Huda Mohd Salehuddin hadir bagi pihak pendakwaan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement