Ringkasan AI
- Ramai calon SPM 2024 di Sarawak tidak hadir peperiksaan kerana perlu bekerja untuk menyara keluarga, walaupun pelbagai langkah intervensi telah diambil oleh pihak sekolah.
- Terdapat calon SPM yang tidak hadir peperiksaan kerana masalah kesihatan, dan mereka diberi peluang untuk menduduki peperiksaan pada masa akan datang.
- JPNS menerima 1,312 guru baharu untuk mengisi kekurangan guru di Sarawak, dengan jumlah murid sekolah rendah dan menengah yang mendaftar pada hari pertama persekolahan adalah 430,796 orang.
Tanpa mendedahkan jumlah terlibat, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) Omar Mahli berkata pelbagai langkah intervensi dilaksanakan pihak sekolah bagi memastikan pelajar hadir bagi semua kertas peperiksaan bertulis SPM.
"Guru telah pergi ke rumah pelajar ini bagi menjemput mereka ke sekolah dan menduduki peperiksaan. Kita tidak dapat buat apa-apa apabila mereka sendiri membuat pilihan untuk tidak mahu datang walaupun telah dipujuk.
"Kita berharap ibu bapa membantu guru untuk memastikan anak-anak mereka menduduki peperiksaan," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja hari pertama sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan Jalan Haji Baki, hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan seramai 8,076 calon SPM 2024 dilaporkan tidak hadir bagi semua kertas peperiksaan bertulis setakat 6 Feb lepas.
Dalam pada itu, Omar berkata terdapat juga dalam kalangan calon SPM tahun lepas yang tidak menduduki peperiksaan bertulis berikutan faktor kesihatan.
"Itu kita tak dapat nak elak tetapi bagi yang sakit, kita beri peluang untuk mereka menduduki peperiksaan pada masa akan datang. Kalau mereka mohon, kita beri peluang," katanya.
Mengenai permulaan sesi persekolahan 2025/2026, beliau berkata JPNS telah menerima tambahan guru baharu seramai 1,312 orang bagi mengisi kekurangan guru di negeri ini.
"Secara keseluruhan, hari pertama persekolahan di negeri ini membabitkan 240,498 murid sekolah rendah dan 190,298 pelajar sekolah menengah," katanya.
-- BERNAMA
