KUALA LUMPUR: Majikan sektor swasta atau awam perlu melaporkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenai pemberhentian atau kematian pekerja mereka bagi memudahkan urusan percukaian.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pungutan Hasil LHDN Azharuddin Mohd Ali berkata pemberitahuan itu perlu dihantar menggunakan Borang CP22B bagi sektor awam dan CP22A (swasta) sekurang-kurangnya 30 hari sebelum pemberhentian kerja, atau tidak lebih 30 hari selepas dimaklumkan tentang kematian bagi membolehkan pihaknya mengeluarkan Surat Penyelesaian Cukai (SPC).

"Majikan diwajibkan menahan mana-mana wang yang boleh dibayar kepada pekerja selama 90 hari atau sehingga SPC. Ini adalah dalam kes pemberhentian kerja, pemberhentian disebabkan kematian atau apabila pekerja meninggalkan Malaysia melebihi tiga bulan tanpa niat untuk kembali.

"Tindakan ini diambil untuk memastikan pekerja itu menyelesaikan segala tunggakan cukai sekiranya ada, sebelum mereka bekerja dengan majikan lain atau kembali ke negara asal," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi tetamu program Klinik Cukai LHDN bertajuk '10 Perkara Perlu Tahu Sebagai Majikan Bertanggungjawab' di Bernama Radio di sini hari ini.

Azharuddin berkata bermula 1 Sept 2024, permohonan pindaan atau tambahan maklumat pekerja wajib dikemukakan melalui e-SPC di portal MyTax, manakala permohonan pembatalan boleh dikemukakan secara manual ke pejabat LHDN yang mengendalikan fail cukai pekerja itu.

Sementara itu, Azharuddin mengingatkan para majikan supaya menyedia dan menyerahkan penyata saraan EA (bagi sektor swasta) dan EC (bagi sektor awam) kepada pekerja sebelum atau pada 28 Feb setiap tahun.

Beliau berkata penyata saraan EA dan EC ini perlu diserahkan mengikut tarikh yang ditetapkan bagi membolehkan pekerja melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mengemukakan Borang Nyata (BN) kepada LHDN dalam tempoh yang ditetapkan.

"Penyata EA dan EC adalah dokumen penting yang diperlukan oleh pembayar cukai untuk melaporkan pendapatan mereka kepada LHDN menerusi e-Filing, yang akan bermula pada 1 Mac 2025," katanya.

Azharuddin turut menyarankan semua majikan di negara ini supaya segera membuat pendaftaran peranan Majikan, Wakil Majikan dan Pentadbir PCB di MyTax dalam sistem perkhidmatan Potongan Cukai Bulanan (PCB) baharu iaitu e-PCB Plus, sebelum sistem itu dilaksanakan sepenuhnya kelak.

Beliau berkata pendaftaran peranan di sistem baharu itu bagi memastikan proses pengemukaan berkaitan percukaian dapat diselesaikan dengan lancar serta memudahkan proses peralihan.

LHDN sebelum ini memaklumkan e-PCB Plus akan diperkenal untuk menggantikan sistem sedia ada seperti e-PCB, e-Data PCB dan e-CP39, dengan menggabungkan ketiga-tiga sistem itu di bawah satu platform menerusi portal MyTax.

-- BERNAMA