KUALA LUMPUR: Malakoff Corporation Berhad meraikan ulang tahun ke-50 sebagai peneraju industri tenaga negara dengan menegaskan kepentingan inovasi kejuruteraan, peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui, serta komitmen terhadap keselamatan bekalan tenaga negara.

Ketua Kejuruteraan Malakoff, Dr. Mohamad Lutfi Samsudin, berkata perjalanan syarikat itu bermula dalam sektor perladangan sebelum beralih menjadi antara pengeluar tenaga utama negara.

“Peralihan Malakoff ke sektor tenaga bermula dengan pengoperasian Loji Janakuasa Lumut pada 1996, diikuti dengan kejayaan operasi Loji Janakuasa Prai yang menggunakan teknologi single-shaft turbin gas kitar padu pertama di Malaysia dan Loji Janakuasa Tanjung Bin Energy, antara loji ultra supercritical arang batu terawal di negara ini,” katanya.

Selain di Malaysia, jurutera Malakoff turut mengendalikan loji janakuasa di Asia Barat dan Indonesia, membuktikan keupayaan jurutera tempatan dalam mengurus operasi tenaga pada skala global.

xxx

Peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui

Kini, Malakoff dalam fasa peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui, namun cabaran seperti kos tinggi, kebergantungan kepada teknologi luar, serta keperluan mengekalkan pengetahuan dalam tenaga arang batu, gas, dan nuklear masih menjadi faktor utama yang perlu diatasi.

“Malaysia perlu mengekalkan tenaga konvensional bagi memastikan kestabilan bekalan elektrik buat masa ini, sementara pembangunan tenaga alternatif sebagai pengganti bagi kapasiti yg diperlukan belum mencapai sasaran yang diperlukan.

“Pada masa sama, Malakoff turut membangunkan teknologi baharu seperti pembakaran bersama arang batu dan biojisim yang mampu mengurangkan pelepasan karbon,” jelasnya.

Pada pertengahan 2024, Malakoff memperkenalkan teknologi ini di Loji Janakuasa Tanjung Bin, Johor, selari dengan Pelan Tindakan Transformasi Tenaga Kebangsaan (NETR).

Majlis peluncuran pembakaran bersama arang batu dan biojisim di Loji Janakuasa Tanjung Bin, Johor itu turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Bagi mempercepatkan peralihan tenaga bersih, Malakoff turut menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak dalam membangunkan teknologi tenaga hijau dan meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam penyediaan peralatan serta perkhidmatan berkaitan.

Kekuatan jurutera Malakoff

Menurut Lutfi, kejayaan Malakoff selama lima dekad banyak disumbangkan oleh kepakaran pasukan kejuruteraannya yang bukan sahaja memainkan peranan teknikal, tetapi juga menjadi rujukan utama dalam industri tenaga.

“Kami mempunyai struktur organisasi yang fleksibel, membolehkan jurutera memperoleh dan mengembangkan kepakaran dalam pelbagai bidang, selain galakan syarikat untuk menimba ilmu melalui latihan, persidangan dan pendedahan kepada teknologi baharu,” katanya.

Sempena ulang tahun ke-50, beliau menyeru tenaga kerja Malakoff untuk terus bekerja dengan penuh integriti serta bersiap sedia menghadapi cabaran industri tenaga yang semakin kompleks.