JAKARTA: Kerajaan sentiasa mengalu-alukan rakyat Malaysia di luar negara yang mahu pulang dan membawa pengalaman serta kepakaran mereka ke tanah air, dengan pelbagai inisiatif disediakan bagi memudah cara kepulangan mereka.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, antara inisiatif termasuk Program Kepulangan Pakar (REP) kendalian Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), selain portal MYFutureJobs di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang menawarkan lebih 400,000 peluang pekerjaan
“Bagi saya, prinsipnya mudah, dan ini saya sentiasa ingatkan setiap pegawai KESUMA (Kementerian Sumber Manusia). Kalau kita mahu bakat Malaysia pulang, kita mesti memudahkan, bukan menyusahkan. Kita berada di sini untuk memberi kemudahan, bukan untuk merumitkan.
"Sebab kita tidak boleh kata kepada mereka, ‘Baliklah ke Malaysia’, tetapi apabila mereka mahu balik, prosesnya terlalu rumit sehingga akhirnya mereka kata, ‘Tak apalah. Saya duduk saja di Jakarta.’ Itu yang kita tidak mahu,” katanya ketika berucap pada program Salam Dari Malaysia @ Jakarta, di sini, malam tadi.
Turut hadir Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Datuk Muzaffar Shah Mustafa; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Biruntha Mooruthi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Pada program itu, Ramanan turut melancarkan Garis Panduan Permohonan Permit Masuk di bawah kategori REP, dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia yang menyediakan rujukan lebih jelas dan tersusun, dengan anggaran tempoh pemprosesan kini dipendekkan daripada sekitar enam bulan kepada kira-kira empat bulan atau kurang.
“Keputusan untuk pulang bukan semudah membeli tiket kapal terbang. Ada kerjaya yang perlu dipertimbangkan. Kadang-kadang ada pasangan, sama ada isteri, suami, teman wanita ataupun teman lelaki.
"Ada yang mempunyai anak-anak yag ada persekolahan, ada komitmen dan ada masa depan sebuah keluarga yang perlu difikirkan. Sebab itu, apabila kerajaan bercakap tentang membawa pulang bakat Malaysia, kita tidak boleh hanya melihat kepada individu berkenaan. Kita perlu melihat kepada keluarganya juga,” katanya.
Diperkenalkan pada 2001 dan diletakkan di bawah kendalian TalentCorp sejak 2011 bagi memudah cara kepulangan profesional Malaysia di luar negara, permohonan REP boleh diakses melalui platform dalam talian MyHeart.my.
Ramanan turut menegaskan bahawa peluang untuk menabur bakti kepada Malaysia tidak perlu menunggu sehingga mereka pulang ke tanah air.
“Kalau anda mempunyai kepakaran, tolong kongsikan dengan Malaysia. Kalau anda mempunyai jaringan hubungan di Indonesia, kalau anda nampak peluang untuk syarikat atau bakat Malaysia di Indonesia, tolong kami bukakan pintu itu.
"Walaupun anda berada di luar negara, pengalaman yang anda bina di sini masih boleh memberi manfaat kepada rakyat Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA