Menurut kenyataan kementerian itu yang juga dikenali sebagai Wisma Putra, komitmen ini selaras dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu mengenai keperluan mendesak untuk mempercepat usaha pembinaan semula Gaza dan Palestin.
"Inisiatif ini mencerminkan peranan proaktif Malaysia dalam mendapatkan sokongan antarabangsa serta memupuk kerjasama bagi memastikan usaha pembinaan semula di Palestin dilaksanakan secara mampan dan berkesan," menurut kenyataan itu.
Wisma Putra memaklumkan, pihaknya kini sedang berkoordinasi dengan Jepun untuk menganjurkan Mesyuarat Menteri CEAPAD Keempat (CEAPAD IV) di Malaysia, tahun ini.
Fokus CEAPAD IV merangkumi program pembinaan kapasiti, penyediaan bantuan kemanusiaan menyeluruh serta pembangunan semula infrastruktur kritikal di Palestin.
"Bidang-bidang ini penting dalam memperkukuh institusi Palestin dan meningkatkan kesejahteraan rakyatnya, sejajar dengan komitmen teguh Malaysia terhadap kedaulatan dan hak penentuan nasib sendiri Palestin," katanya.
Malaysia dan Jepun akan berunding dengan para peserta CEAPAD bagi mendapatkan komitmen dan sokongan yang diperlukan untuk menjayakan usaha pembinaan semula Gaza.
"Ini termasuk satu siri mesyuarat penyelarasan sebelum persidangan bagi memastikan bantuan dan sumbangan kepada Palestin dapat disampaikan dengan lebih cekap, teratur dan mampan untuk pembangunan jangka panjang," menurut Wisma Putra.
CEAPAD merupakan platform serantau yang dimulakan oleh Jepun pada 2013 untuk menyokong usaha pembinaan negara Palestin dengan memanfaatkan sumber, kepakaran dan pengalaman pembangunan ekonomi negara-negara Asia Timur.
Mesyuarat Peringkat Kerja CEAPAD yang diadakan pada 18 Julai 2024 sebelum ini mengulangi keperluan mendesak untuk meningkatkan koordinasi dalam menangani krisis kemanusiaan di Gaza serta kepentingan pemulihan dan pembinaan semula jangka panjang, selain reformasi tadbir urus bagi memastikan pembangunan mampan di Palestin.
Malaysia kekal teguh dalam menyokong perjuangan Palestin dan akan terus bekerjasama dengan rakan serantau serta antarabangsa bagi memastikan CEAPAD IV menghasilkan tindakan konkrit dalam menyokong pembinaan semula Palestin dan kestabilan jangka panjangnya.
-- BERNAMA