Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan kerajaan bersikap lembut dalam menangani isu jerebu rentas sempadan dari Indonesia.
- Anwar menegaskan kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk menyelesaikan masalah jerebu yang semakin membimbangkan rakyat Malaysia.
- Beliau turut memaklumkan Indonesia bersedia mengambil tindakan segera selepas perbincangan bersama Presiden Prabowo Subianto melalui panggilan telefon.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan bahawa kerajaan ‘berlembut’ dalam menyelesaikan masalah jerebu rentas sempadan dari Indonesia yang dilihat semakin membimbangkan.
Sebaliknya, tegas Perdana Menteri kerajaan telah melakukan sedaya mungkin bagi menangani perkara tersebut.
“Kita dah buat sedaya mungkin (dalam mencari penyelesaian isu jerebu)… ,” katanya ringkas kepada media selepas melancarkan Projek Residensi Siswa Universiti Malaya (UM), di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang menyifatkan Malaysia mengambil pendekatan ‘berlembut’ dalam berurusan dengan Indonesia berhubung isu jerebu.
Dalam episod terbaharu audio siar Keluar Sekejap, Khairy mengakui Malaysia perlu mengamalkan diplomasi, namun berpendapat kerajaan perlu mengambil tindakan lebih tegas bagi mempertahankan kepentingan negara.
“Tapi, saya fikir apabila orang lain cekik anda, anda tidak boleh biarkan mereka terus mencekik. Sekurang-kurangnya tepis tangan mereka atau balas balik. Perkara itu tidak berlaku.
“Saya faham diplomasi, tapi saya sangat kecewa dengan kerajaan kerana tidak sanggup pertahankan kita,” kata Khairy seperti dilapor media pada Rabu.
Pada 13 Oktober lepas, Anwar meminta Indonesia mengambil tindakan segera bagi menangani pembakaran terbuka dan jerebu yang menjejaskan kesihatan rakyat Malaysia.
Perdana Menteri berkata, tindakan itu penting bagi memastikan langkah berkesan dapat diambil untuk menangani pembakaran terbuka yang menjadi antara punca jerebu rentas sempadan.
Sementara itu, pada 8 Oktober lepas, Anwar memaklumkan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menyatakan kesediaan mengambil langkah yang perlu bagi menangani situasi yang menyebabkan jerebu di Malaysia.
Beliau berkata perkara itu dibincangkan secara langsung bersama Prabowo menerusi panggilan telefon.