Skip to main content

Malaysia

Malaysia di tangga ke-53 dunia dalam Indeks Kedaulatan Undang-Undang WJP 2026

Malaysia menduduki tempat ke-37 di peringkat global dalam aspek keadilan sivil, iaitu pencapaian terbaik negara dalam penilaian terhadap lapan faktor, diikuti keadilan jenayah di tangga ke-44 manakala penguatkuasaan peraturan di kedudukan ke-46. - Gambar fail/Bernama
Malaysia menduduki tempat ke-37 di peringkat global dalam aspek keadilan sivil, iaitu pencapaian terbaik negara dalam penilaian terhadap lapan faktor, diikuti keadilan jenayah di tangga ke-44 manakala penguatkuasaan peraturan di kedudukan ke-46. - Gambar fail/Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia menduduki tangga ke-53 daripada 143 negara di dunia dan ketujuh dalam kalangan 15 negara di rantau Asia Timur dan Pasifik dalam Indeks Kedaulatan Undang-Undang 2026 World Justice Project (WJP), sekali gus meletakkan negara dalam kelompok kecil negara mencatatkan peningkatan ketika kedaulatan undang-undang di peringkat global kian terhakis.

Indeks berkenaan yang diterbitkan pada Rabu menunjukkan skor keseluruhan Malaysia meningkat kurang daripada satu peratus kepada 0.57 manakala 62 peratus negara di seluruh dunia mencatatkan kemerosotan dalam prestasi kedaulatan undang-undang masing-masing. 

Berdasarkan laporan itu, Malaysia berada di kedudukan keenam daripada 44 negara dalam kategori berpendapatan sederhana tinggi.

Laporan berkenaan menyatakan Malaysia tidak mencatatkan sebarang kemerosotan dalam beberapa petunjuk utama berkaitan kebebasan asasi dan penyertaan masyarakat sivil, walaupun aspek berkenaan menunjukkan kemerosotan ketara di kebanyakan negara seluruh dunia.

“Malaysia menduduki tempat ke-37 di peringkat global dalam aspek keadilan sivil, iaitu pencapaian terbaik negara dalam penilaian terhadap lapan faktor, diikuti keadilan jenayah di tangga ke-44 manakala penguatkuasaan peraturan di kedudukan ke-46.

“Malaysia turut menduduki tangga ke-51 bagi aspek ketenteraman dan keselamatan, bebas rasuah (ke-54) dan kekangan kuasa kerajaan (ke-56), namun kedudukan negara lebih rendah dalam aspek hak asasi dan keterbukaan kerajaan dengan masing-masing pada kedudukan ke-77 dan ke-104 di peringkat global,” menurut laporan itu.

Dalam kalangan negara berpendapatan sederhana tinggi, Malaysia berada di tempat ketiga bagi aspek keadilan sivil manakala kedudukan keempat masing-masing bagi keadilan jenayah dan penguatkuasaan peraturan namun Malaysia berada di kedudukan ke-35 daripada 44 negara bagi aspek keterbukaan kerajaan.

Laporan itu turut menekankan bahawa Malaysia tidak mencatatkan kemerosotan dalam beberapa petunjuk utama berkaitan kebebasan asasi dan penglibatan sivik meskipun aspek berkenaan menunjukkan kemerosotan meluas di peringkat global.

Aspek berkenaan merangkumi kebebasan berpendapat dan bersuara, kebebasan berhimpun dan berpersatuan serta penyertaan sivik, dengan masing-masing mencatatkan kemerosotan 64, 67 dan 65 peratus daripada negara yang dikaji.

Malaysia juga tidak tergolong dalam kalangan negara yang mencatatkan penurunan bagi aspek kekangan kehakiman terhadap kuasa kerajaan iaitu petunjuk yang mengalami kemerosotan di 63 peratus negara di seluruh dunia.

Selain itu, Malaysia menunjukkan peningkatan dari segi akses kepada keadilan sivil dan kemampuan menanggung kos perkhidmatan perundangan serta keadilan sivil yang bebas daripada diskriminasi, dengan kedua-dua petunjuk itu mencatatkan peningkatkan 54 peratus dan 52 peratus negara yang dikaji. 

Dari segi trend global, WJP mendapati amalan autoritarian semakin berakar umbi dengan lebih 86 peratus negara mengalami penurunan berterusan selama lima tahun dalam sekurang-kurangnya satu mekanisme perlindungan daripada pemerintahan sedemikian, termasuk kekangan terhadap kuasa kerajaan, keterbukaan kerajaan atau hak asasi.

Bagaimanapun, Malaysia tidak tergolong dalam kalangan negara yang mengalami penurunan berterusan sedemikian. 

Di rantau Asia Timur dan Pasifik, skor kedaulatan undang-undang bagi 11 daripada 15 negara merosot dalam tempoh setahun lepas, dengan enam negara mencatatkan penurunan bagi dua tahun berturut-turut.

New Zealand muncul selaku negara mencatat prestasi terbaik di rantau ini apabila menduduki tempat ketujuh di peringkat global, diikuti Australia dan Singapura manakala Filipina, Myanmar dan Kemboja berada di kedudukan tiga terbawah di peringkat serantau.

Di peringkat global, Denmark menduduki tangga teratas indeks itu disusuli Norway, Finland, Sweden dan Luxembourg manakala Venezuela berada di kedudukan terakhir diikuti Afghanistan, Haiti, Kemboja serta Nicaragua.

Indeks Kedaulatan Undang-Undang WJP yang diterbitkan oleh organisasi bebas dan tidak berpihak iaitu WJP, mengukur tahap kedaulatan undang-undang di 143 negara dan bidang kuasa yang merangkumi 95 peratus penduduk dunia, berdasarkan data daripada penilaian pakar serta tinjauan isi rumah.

Untuk mengetahui prestasi Malaysia berdasarkan kesemua 44 subfaktor yang dinilai dalam indeks berkenaan, layari www.worldjusticeproject.org/rule-of-law-index/country/2026/Malaysia.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement