Skip to main content

Malaysia

Malaysia mahu contohi pengurusan sisa Jepun - Nga

41763845543_NgaKorMing.jpg
Nga berkata Malaysia dan Jepun dijangka memperkukuh kerjasama dalam memajukan ekonomi kitaran serta memodenkan pengurusan sisa menerusi cadangan Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara. - Foto fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia mahu menjadikan amalan pengasingan dan kitar semula sisa pepejal di Jepun sebagai contoh dalam usaha membudayakan amalan bertanggungjawab terhadap alam sekitar dalam kehidupan seharian, sekali gus mempercepatkan peralihan negara ke arah ekonomi kitaran.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata pengalaman Jepun dalam pengurusan sisa yang cekap, khususnya amalan mengasingkan sisa di punca, boleh menjadi contoh berguna kepada Malaysia.

“Jepun terkenal dengan sistem pengurusan sisa yang cekap serta budaya kebersihan yang kukuh. Di Jepun, pengasingan sisa di punca sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian. Ini sesuatu yang boleh kita pelajari.

“Amalan baik perlu diterapkan sejak usia muda. Kita perlu mendidik anak-anak mengenai pengasingan sisa, kitar semula dan menjaga kebersihan persekitaran supaya kebersihan menjadi sebahagian daripada budaya kita dan bukan sesuatu yang dilakukan hanya kerana penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Nga berkata Malaysia dan Jepun dijangka memperkukuh kerjasama dalam memajukan ekonomi kitaran serta memodenkan pengurusan sisa menerusi cadangan Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara.

Beliau berkata MoU yang diluluskan Jemaah Menteri bulan lepas itu dijangka memudah cara pertukaran kepakaran, teknologi dan amalan terbaik antara kedua-dua negara.

Nga membincangkan cadangan kerjasama itu ketika mengadakan kunjungan hormat terhadap Duta Jepun ke Malaysia Shikata Noriyuki di kediaman rasmi duta berkenaan di sini pada Selasa.

Beliau berkata Malaysia telah memperkenalkan beberapa langkah bagi menyokong peralihan berkenaan, termasuk Pelan Tindakan Ekonomi Kitaran Negara dan penubuhan Majlis Ekonomi Kitaran Bagi Sisa Pepejal (NCEC).

Langkah itu turut merangkumi keperluan pusat beli-belah menyediakan kemudahan kitar semula sebagai sebahagian daripada syarat pelesenan, selain usaha berterusan untuk menghapuskan penggunaan beg plastik sekali guna secara berperingkat.

“Dengan menggabungkan pengalaman dan kepakaran teknologi Jepun dengan pembaharuan yang sedang dilaksanakan Malaysia, kita dapat mempercepatkan peralihan ke arah bandar yang lebih bersih, hijau dan mampan,” katanya.

Sementara itu, Shikata menjemput delegasi Malaysia menghadiri GREEN×EXPO 2027 di Yokohama, yang boleh membuka peluang lebih luas untuk kerjasama dalam bidang termasuk pembangunan bandar pintar dan mampan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement