Dari kesediaan sumber hingga penerimaan masyarakat, keputusan ini bukan sesuatu yang boleh dibuat dengan mudah.
Berikut adalah lima perkara utama yang perlu diberi perhatian sebelum Malaysia boleh melangkah ke arah tenaga nuklear berdasarkan pandangan Felo Utama, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Ahmad Fariz Mohamed.
1️⃣ Sumber uranium dan kos
Tenaga nuklear memerlukan uranium, dan sumber bahan bakar ini bukan sahaja semakin berkurangan tetapi juga mahal. Malaysia perlu memastikan bekalan yang stabil dan berpatutan untuk jangka panjang bagi menjamin kelangsungan loji tenaga nuklear.
2️⃣ Pelaburan berskala besar
Pembangunan loji nuklear memerlukan pelaburan berbilion ringgit, merangkumi infrastruktur, teknologi keselamatan, serta pengurusan sisa radioaktif. Kebergantungan kepada pakar luar turut meningkatkan kos operasi.
3️⃣ Kepakaran tenaga kerja
Sumber manusia memainkan peranan penting dalam kejayaan loji nuklear. Malaysia perlu melahirkan tenaga pakar dalam pelbagai bidang seperti kejuruteraan, keselamatan, dan pengurusan bahan radioaktif. Tanpa tenaga pakar tempatan, kebergantungan kepada pakar asing akan meningkatkan kos dan risiko operasi.
4️⃣ Lokasi dan impak alam sekitar
Pemilihan lokasi loji nuklear bukan sahaja bergantung kepada keperluan teknikal tetapi juga aspek alam sekitar. Malaysia telah menandatangani beberapa konvensyen berkaitan biodiversiti, dan pembinaan loji di kawasan sensitif boleh mencetuskan konflik dengan komitmen ekologi negara.
5️⃣ Penerimaan masyarakat dan penyertaan swasta
Sokongan sektor swasta penting dalam menjayalan tenaga nuklear di Malaysia. Pada masa sama, penerimaan masyarakat terhadap loji nuklear perlu diambil kira, terutama bagi kawasan berpenduduk padat seperti Selangor.
Membangunkan loji tenaga nuklear bukan sekadar soal teknologi, tetapi memerlukan pertimbangan menyeluruh melibatkan aspek ekonomi, sosial, dan alam sekitar.
Dengan cabaran besar dan kesan jangka panjang, perancangan rapi amat diperlukan sebelum Malaysia melangkah ke arah tenaga nuklear.
