Skip to main content

Malaysia

Malaysia mesti capai kedudukan kelompok 10 terbaik Indeks Keamanan Global - Saifuddin Nasution

BATU PAHAT, 9 Jun -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Program Citra Negara MDN Sekolah Selamat di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menurut Saifuddin Nasution, keselamatan dan kestabilan mewujudkan keyakinan, dan keyakinan menjadi asas kepada semua yang dibina. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

SANDAKAN: Malaysia perlu mencapai kedudukan dalam kelompok 10 terbaik Indeks Keamanan Global (GPI) memandangkan negara kini berada pada kedudukan ke-12 daripada 165 negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia menduduki tempat kedua di belakang Singapura serta ketiga di rantau Asia-Pasifik selepas Singapura dan New Zealand.

“Ketika kita menuju ke Rancangan Malaysia ke-13, saya telah memberikan arahan khusus kepada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri bahawa kita mesti mencapai kedudukan dalam kelompok 10 terbaik GPI.

“Keselamatan dan kestabilan mewujudkan keyakinan, dan keyakinan menjadi asas kepada semua yang dibina,” katanya semasa berucap pada majlis makan malam bersempena dengan program taklimat dan penilaian keselamatan yang melibatkan perwakilan asing ke Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dikongsikan hari ini.

Saifuddin Nasution juga menyampaikan penghargaan Malaysia kepada Australia dan Korea Selatan atas penilaian semula yang membina terhadap nasihat perjalanan yang melibatkan ESSZone.

“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jepun atas usaha teliti mereka dalam menyemak dan mengemas kini nasihat perjalanan mereka sebanyak dua kali yang mencerminkan komitmen berterusan mereka untuk memastikan nasihat itu selari dengan keadaan semasa.

“Terbaharu, kami mengalu-alukan keputusan Amerika Syarikat untuk melakukan semakan yang sama,” katanya. 

Saifuddin Nasution berkata semakan terhadap nasihat perjalanan itu bukan sahaja mengiktiraf pencapaian keselamatan Malaysia, malah akan mengukuhkan keyakinan, menggalakkan pelancongan, mempromosikan pelaburan mampan dan terus memperkukuh persahabatan sekian lama antara Malaysia dengan negara terlibat.

Beliau berkata dari 13 tahun lepas, kerajaan telah melaburkan sebanyak RM723 juta untuk keselamatan ESSZone.

“Hasilnya, kita kini berada dalam kedudukan yang jauh lebih baik, keupayaan untuk bergerak bebas dan mengunjungi pulau-pulau dalam perairan kita serta berinteraksi dengan komuniti kita yang dapat dilaksanakan melalui komitmen teguh kerajaan yang diterajui oleh kementerian menerusi Eastern Sabah Security Command (ESSCOM),” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement