Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) MITI Datuk Hanafi Sakri berkata inisiatif itu bukan sekadar mengenai menerima guna transformasi digital malah juga untuk mencipta pekerjaan berkemahiran tinggi, meningkatkan daya tahan industri dan meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam pembuatan termaju.
"Setakat ini, hampir 500 syarikat telah menerima manfaat Dana Intervensi yang diuruskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
"Kami berharap angka itu dapat mencapai sasaran minimum 2,500 lagi menjelang 2030," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jerayawara MIDF 2025 bertemakan 'Menerima Daya Saing Global: Perniagaan Sedia Masa Depan dan Halal' di sini, pada Khamis.
Dana Intervensi menyediakan bantuan kewangan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menggunakan teknologi Industri 4.0 dan akhirnya berubah kepada menjadi kilang pintar.
NIMP 2030 adalah strategi nasional Malaysia untuk memacu penerimagunaan Industri 4.0 dalam kalangan syarikat pembuatan dan syarikat perkhidmatan berkaitan pembuatan dengan membantu perniagaan beralih kepada pembuatan pintar melalui automasi, digitalisasi, dan teknologi termaju seperti kecerdasan buatan, Internet Pelbagai Benda serta robotik.
Semasa majis pelancaran itu, Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) mengetengahkan dua inisiatif utama iaitu Program Pembiayaan Sedia Masa Depan (FRF) dan Program Peningkatan Teknologi Akreditasi Halal (HATI).
FRF membantu PKS untuk menggunakan teknologi Industri 4.0 dan automasi bagi meningkatkan daya saing, manakala HATI menyokong PKS dalam menaik taraf teknologi untuk memenuhi piawaian pensijilan halal.
Hanafi memuji sokongan daripada MIDF, dengan menekankan jumlah dana yang besar diperlukan untuk mencapai sasaran pembuatan pintar yang ditetapkan NIMP 2030.
"Inisiatif pembuatan pintar memerlukan pembiayaan yang besar, kerana mewujudkan 3,000 kilang pintar -- dengan anggaran RM5 juta bagi setiap syarikat -- memerlukan jumlah keseluruhan sebanyak RM15 bilion.
"Oleh kerana jumlahnya besar, yang tidak mampu disediakan oleh kerajaan hanya melalui geran atau pinjaman mudah maka, penyertaan daripada kalangan bank komersial penting untuk menyokong aspirasi NIMP 2030," katanya.
Beliau berkata industri halal juga memerlukan sokongan kewangan untuk berkembang.
Beliau berkata penyertaan daripada institusi kewangan seperti MBSB Bhd juga penting dalam memenuhi keperluan pembiayaan industri.
Terdahulu ketika menyampaikan ucaptama, Hanafi memuji program FRF dan HATI sebagai pemangkin dalam memperkasakan PKS untuk menyepadukan teknologi baharu, membolehkan PKS bersaing dengan berkesan di peringkat global.
"Saya yakin melalui kerjasama kukuh antara kerajaan, peserta industri, dan PKS, kita dapat memacu transformasi perindustrian Malaysia ke hadapan, memastikan perniagaan kita kekal relevan, berdaya saing, dan sedia masa depan," katanya.
-- BERNAMA
