Segmen "mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran" (MICE) merupakan antara bidang tumpuan utama Tourism Malaysia pada pameran perdagangan Bursa Pengembaraan dan Pelancongan Asia Selatan (SATTE) tahun ini di New Delhi.
Malaysia telah diiktiraf sebagai Destinasi MICE Terbaik 2024 dalam pasaran India dan ia berhasrat untuk membina reputasinya dalam pelancongan acara.
"Tourism Malaysia secara aktif menyokong kumpulan MICE dan menawarkan insentif untuk menggalakkan lebih banyak acara korporat dan perniagaan di Malaysia," kata Pengarah Tourism Malaysia New Delhi Ahmad Johanif Mohd Ali dalam ucapannya pada majlis makan malam rangkaian Tourism Malaysia pada Selasa.
"Selain itu, MyCEB (Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia), Langkawi dan Pulau Pinang turut menyediakan insentif bagi sektor MICE," katanya.
"Inisiatif ini akan meningkatkan lagi daya tarikan Malaysia sebagai pilihan utama bagi persidangan antarabangsa, acara korporat dan lawatan galakan," tambahnya.
Kempen promosi pelancongan Malaysia di India tahun ini memberi tumpuan kepada menarik lebih ramai pelancong yang berminat dengan aktiviti membeli-belah, taman tema, percutian keluarga dan pakej bulan madu.
Perkahwinan destinasi, acara perniagaan dan golf pula dilihat sebagai bidang baharu yang berpotensi besar.
Ketibaan pelancong dari India meningkat hampir 72 peratus kepada 1.13 juta pada 2024 berbanding tahun sebelumnya.

Pengumuman kerajaan Malaysia pada Disember 2024 untuk melanjutkan dasar pengecualian visa 30 hari bagi pengembara India sehingga 31 Dis 2026 telah disambut baik oleh industri pelancongan.
Sebelum ini, pengembara India mengambil masa kira-kira 60 hari untuk membuat keputusan mengenai lawatan ke Malaysia, namun kini tempoh itu dikurangkan kepada kurang dua minggu, sekali gus menyebabkan peningkatan ketara dalam tempahan saat akhir, kata Ahmad Johanif.
Sebanyak 60 pempamer Malaysia, termasuk pengendali pelancongan, hotel, syarikat penerbangan serta lembaga pelancongan Sabah dan Melaka, menyertai reruai Malaysia pada SATTE yang berlangsung dari 19 hingga 21 Feb.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India Datuk Muzafar Shah Mustafa merasmikan reruai Tourism Malaysia dan Malaysia Airlines pada acara itu serta berinteraksi dengan para pempamer.
Malaysia Airlines mengendalikan lebih daripada 70 penerbangan mingguan antara India dan Malaysia serta merancang untuk menambah kapasiti laluan itu.
Peningkatan jumlah penumpang antara kedua-dua negara turut membuka laluan baharu.
Ahmad Johanif berkata Tourism Malaysia telah bekerjasama dengan syarikat penerbangan India, IndiGo untuk melancarkan penerbangan terus Bengaluru-Langkawi dan Chennai-Pulau Pinang pada Disember, manakala Air India memulakan penerbangan ke Kuala Lumpur pada September tahun lepas.
"Kami ingin melihat lebih banyak kesalinghubungan antara India dan bandar raya lain di Malaysia, khususnya Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching," katanya.
Batik Air dan AirAsia turut mengendalikan penerbangan ke beberapa destinasi antara India dan Malaysia.
-- BERNAMA
