KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata Malaysia sudah bersedia untuk memimpin ASEAN dengan jelas dan yakin sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025.

Anwar bagaimanapun berkata kepimpinan bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata, dan beliau menggesa perniagaan, ahli akademik, usahawan dan masyarakat sivil memainkan peranan dalam membentuk masa depan yang inklusif, mampan dan berdaya tahan.

"Masanya sudah tiba bagi ASEAN... Kita mesti bertindak dengan segera, bersatu, dan bercita-cita tinggi bagi menjamin masa depan yang sejahtera untuk semua. Ini bukan masa untuk incrementalism atau pemikiran jangka pendek.

"Ia adalah masa untuk membuat keputusan berani, perkongsian transformatif, dan komitmen bersama untuk kemakmuran jangka panjang," katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Persidangan China: Asia Tenggara 2025 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour

Ketika Malaysia terus gigih memainkan peranannya dalam ASEAN dan mengukuhkan kerjasamanya dengan China, Anwar juga menggesa semua pihak yang berkaitan untuk menjadi sebahagian daripada wawasan ini.

"Mari kita bina masa depan berdasarkan kepercayaan, inovasi, dan aspirasi bersama," kata Perdana Menteri.

Sementara itu persidangan yang dianjurkan oleh South China Morning Post hari ini telah mengumpulkan lebih 700 pegawai kerajaan, diplomat, pemimpin perniagaan global, cendekiawan, dan pemimpin pemikiran dari seluruh dunia.

Sepanjang sesi hari ini, persidangan itu akan mengkaji hubungan China-ASEAN yang sentiasa berkembang dan membincangkan kepentingan strategik hubungan yang lebih kukuh antara China, ekonomi kedua terbesar di dunia, dan ASEAN, blok ekonomi paling dinamik di dunia.

-- BERNAMA