Skip to main content

Malaysia

Malaysia tidak gentar risiko diplomatik pertahan pendirian pembebasan Palestin - PM

Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Makan Malam Sumud Nusantara bersempena dengan Global Sumud Congress 2026 di Bangi Avenue Convention Centre, pada Selasa. - Gambar Bernama
Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Makan Malam Sumud Nusantara bersempena dengan Global Sumud Congress 2026 di Bangi Avenue Convention Centre, pada Selasa. - Gambar Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia sanggup hadapi risiko diplomatik demi mempertahankan pendirian menyokong perjuangan rakyat Palestin.
  • Anwar mengkritik kegagalan sistem antarabangsa melindungi hak asasi manusia, khususnya terhadap penindasan yang dialami rakyat Palestin di Gaza.
  • Beliau menyeru rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa mengambil tindakan, walaupun kecil, untuk membantu rakyat Palestin yang ditindas lebih 70 tahun.

BANGI: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kesediaan Malaysia untuk berhadapan risiko diplomatik dan tekanan antarabangsa demi mempertahankan pendirian negara ke atas perjuangan rakyat Palestin.

Tegas Perdana Menteri, sebarang halangan mungkin dihadapi Malaysia tidak setanding penderitaan rakyat Palestin, khususnya kanak-kanak di Gaza yang terus menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.

“Saya tahu risikonya, saya tahu masalahnya, tetapi apalah sangat masalah ini jika dibandingkan krisis dihadapi anak-anak (Palestin) yang menjerit mengharapkan dunia mendengar, tetapi dunia tetap pekak,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sumud Nusantara, di sini, pada Selasa.

Tambah Anwar, masyarakat antarabangsa perlu mempersoalkan keberkesanan sistem sedia ada yang sering mengangkat prinsip demokrasi dan hak asasi manusia, tetapi gagal melindungi golongan berdepan penindasan.

“Saya perlu bercakap sebagai seorang Perdana Menteri, saya faham akan hal itu. Namun, saya harus menyatakan rasa amat muak terhadap kegagalan aturan antarabangsa.

“Kita bercakap tentang demokrasi, tetapi demokrasi siapa? Kita bercakap tentang hak asasi manusia, tetapi manusia yang mana? Sedangkan pada masa sama, manusia dilayan seperti haiwan dan hamba.

“Mengapa apabila ia melibatkan kes Palestin, terdapat aturan, penghakiman dan keputusan yang berbeza? Adakah kerana mereka orang Islam, atau bangsa Arab, atau rakyat Palestin?

“Bagi saya, itu semua tidak penting. Apa yang penting adalah mereka merupakan manusia dan mereka tidak boleh dijajah,” tegasnya.

Tambah Anwar, rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa diseru supaya mengambil tindakan bagi membantu rakyat Palestin, meskipun melalui sekecil-kecil usaha.

“Amat mengaibkan sekali kalau kita katakan tidak boleh melakukan apa-apa hanya kerana terlalu sibuk dengan dunia kita sendiri.

“Jadi, ambil langkah-langkah yang perlu, biar satu usaha sekecil mana pun untuk membantu rakyat yang telah mengalami penindasan selama lebih 70 tahun,” katanya mengakhiri bicara.

Must Watch Video

Advertisement