Skip to main content

Malaysia

Mandat rakyat atasi mandat parti, Ahli Parlimen perlu kekal - BERSIH

BERSIH menegaskan mandat rakyat perlu mengatasi mandat parti politik kerana pengunduran seseorang Ahli Parlimen memberi kesan langsung kepada seluruh kawasan yang diwakilinya.
BERSIH menegaskan mandat rakyat perlu mengatasi mandat parti politik kerana pengunduran seseorang Ahli Parlimen memberi kesan langsung kepada seluruh kawasan yang diwakilinya.

Advertisement

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen yang berdepan tekanan atau pertikaian dalaman parti digesa terus mempertahankan mandat pengundi dan kekal menjalankan tanggungjawab mereka sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menegaskan mandat rakyat perlu mengatasi mandat parti politik kerana pengunduran seseorang Ahli Parlimen memberi kesan langsung kepada seluruh kawasan yang diwakilinya.

“Rakyat memilih wakil mereka untuk membawa suara, mempertahankan kepentingan dan memperjuangkan perubahan di Parlimen sepanjang penggal.

"Pertembungan dalaman parti tidak seharusnya menyebabkan hak-hak wakil rakyat dinafikan, rakyat kehilangan perwakilan dan menanggung akibat pertikaian yang berada di luar kawalan mereka," menurut kenyataan yang disiarkan menerusi akaun media sosialnya semalam.

Kenyataan itu dibuat susulan keputusan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung untuk meletakkan jawatan selepas keahliannya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) digantung pada 2 Oktober.

BERSIH turut mengambil perhatian bahawa keputusan itu menyusuli peletakan jawatan oleh beberapa Ahli Parlimen sebelum ini, termasuk Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Wong Chen.

Menurut BERSIH, meskipun peletakan jawatan merupakan pilihan seseorang Ahli Parlimen, pengundi tidak seharusnya kehilangan perwakilan akibat pertikaian yang berada di luar kawalan mereka.

BERSIH berpandangan seseorang wakil rakyat juga perlu mendapatkan pandangan pengundi melalui rundingan yang bermakna sebelum membuat keputusan untuk mengosongkan kerusi.

Pada masa sama, BERSIH mengakui wujud kemungkinan tekanan politik, tindakan disiplin, perbezaan pendirian serta sekatan tertentu yang dihadapi wakil rakyat yang lantang dalam parti.

Namun, keadaan itu tidak seharusnya menyebabkan suara kritikal meninggalkan Parlimen.

“Rakyat memerlukan wakil yang terus bersuara, termasuk ketika berdepan tekanan daripada kepimpinan parti sendiri.

"Perbezaan pendapat seharusnya menjadi sebab untuk memperkukuh perbahasan dan semak imbang di Parlimen," menurut kenyataan itu.

BERSIH turut memberi amaran bahawa pengunduran Ahli Parlimen yang kritikal boleh mengurangkan suara dalam usaha mendesak pelaksanaan reformasi institusi.

Antara agenda yang masih memerlukan perhatian ialah reformasi pilihan raya dan pendanaan politik, pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta pemerkasaan institusi Parlimen.

Sehubungan itu, BERSIH menyeru semua Ahli Parlimen supaya terus menjalankan tanggungjawab sehingga mandat rakyat diperbaharui pada PRU16.

Dalam perkembangan sama, BERSIH turut mendesak Kerajaan MADANI menyalurkan Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) secara sama rata kepada semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang dan wakil rakyat yang lantang mengkritik kerajaan.

BERSIH menyifatkan sekatan pemberian peruntukan kepada wakil rakyat sebagai tidak adil dan boleh menjejaskan keupayaan mereka menjalankan tanggungjawab.

Menurutnya, pemberian peruntukan sama rata merupakan janji yang perlu ditunaikan dan tidak seharusnya bergantung kepada budi bicara kerajaan yang memerintah.

Must Watch Video

Advertisement