Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, berkata dengan pendaftaran ahli secara percuma, pusat ini menawarkan peluang kepada masyarakat untuk terlibat dalam bidang keusahawanan, pekerjaan, atau pembangunan diri dengan memanfaatkan kemajuan teknologi.
Sebagai contoh, dengan ilmu dan tunjuk ajar daripada tenaga pengajar di NADI, peniaga dan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) berpeluang memperluaskan perniagaan mereka melalui platform e-dagang seperti Shopee, katanya.
"Ini sekali gus membolehkan mereka menjangkau pasaran yang lebih luas, sama ada dalam mahupun luar negara," katanya ketika berucap merasmikan pusat itu di Bandar Tun Razak, Sungai Besi hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Dr Wan Azizah, yang juga isteri Perdana Menteri berkata NADI turut membuka peluang untuk pembelajaran sepanjang hayat, kerana golongan dewasa dan anak-anak muda dapat menambah ilmu dan kemahiran yang relevan dengan perkembangan teknologi. Ini termasuk melalui pelaksanaan bengkel teknologi dan kursus pembelajaran digital.
"Di NADI, kita bukan sahaja diajar cara menggunakan teknologi, tetapi juga diberikan pengetahuan tentang bagaimana untuk melindungi diri dan keluarga daripada ancaman dunia maya.
"Program kesedaran keselamatan siber ini membantu kita lebih berhati-hati dengan data peribadi, mengelakkan risiko penipuan dalam talian dan ancaman keselamatan lain," katanya.
Selain itu, beliau menyifatkan NADI sebagai saluran penting untuk menyampaikan maklumat yang tepat dan terkini mengenai inisiatif kerajaan, supaya rakyat dapat memahami dasar serta peluang yang disediakan.
Sementara itu, MCMC dalam kenyataan memaklumkan NADI Desa Tun Razak adalah antara tiga NADI baharu yang beroperasi sejak 17 Sept lepas, menjadikan jumlah keseluruhan pusat itu di Kuala Lumpur setakat ini adalah sebanyak 24 buah.
Menurut kenyataan itu, NADI bukan hanya menyediakan capaian Internet, tetapi juga memperkasa komuniti melalui lima teras utama inisiatif Perkhidmatan Pintar yang diperkenalkan sejak Julai 2024 iaitu Keusahawanan, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kesejahteraan Kendiri, Kesedaran, dan Inisiatif Kerajaan.
Inisiatif Perkhidmatan Pintar ini bertujuan memastikan setiap program yang dijalankan mampu memenuhi keperluan komuniti dengan lebih mendalam, sekali gus memberikan impak yang besar dalam memperbaiki kualiti hidup dan memacu kemajuan masyarakat secara menyeluruh.
-- BERNAMA