Barangan cubaan seludup yang dianggarkan bernilai lebih RM95,300 itu ditahan di laluan Pintu Masuk Kota Putra Durian Burung, pada Jumaat.
Pengarah MAQIS Negeri Kedah, Hisham Abu Bakar berkata, pemeriksaan rapi oleh pasukan penguat kuasa mendapati, hasilan produk babi, ayam dan ikan sejuk beku tersebut tidak mempunyai permit, sijil kesihatan dan dokumen yang sah daripada MAQIS.
“Ini adalah pelanggaran serius di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) dan semua barang rampasan kini ditahan untuk siasatan dan tindakan lanjut.
"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta 728, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam tahun, denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya, bagi pesalah yang disabitkan kesalahan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Hisham menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil untuk memastikan barangan pertanian yang diimport ke negara ini, termasuk tumbuhan, karkas, ikan dan hasil pertanian, bebas daripada ancaman perosak dan penyakit berbahaya.



Katanya, kerjasama antara agensi penguat kuasa adalah kunci bagi memastikan kepatuhan kepada syarat dan peraturan yang ditetapkan untuk melindungi keselamatan serta kesihatan sektor pertanian negara.
"Penguatkuasaan berterusan ini adalah sebahagian daripada usaha MAQIS dalam mengekang kemasukan barangan pertanian secara haram yang boleh mengancam ekosistem dan kesejahteraan masyarakat," tambah Hisham.
