KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) memulakan langkah ke arah penubuhan Hospital Mara pertama menerusi pasukan khas yang akan menggerakkan agenda berkenaan, kata Pengerusinya Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau berkata Mara mempunyai ekosistem kesihatan yang lengkap untuk menyokong penubuhan hospital berkenaan, termasuk institusi pendidikan yang melahirkan tenaga profesional dalam bidang perubatan dan kesihatan.
“Pasukan khas menggerakkan agenda penubuhan Hospital Mara sudah dimulakan.
“Mara punya ekosistem lengkap untuk sebuah hospital dengan 160 cawangan UniKlinik, UniFarmasi, UniDental, Universiti Kuala Lumpur Royak College of Medicina Perak (UniKL RCMP) melahirkan doktor, Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) melatih jururawat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Asyraf Wajdi berkata sudah tiba masanya Mara mempunyai hospital sendiri yang bukan sahaja berfungsi sebagai hospital pengajar tetapi juga sebagai pusat kecemerlangan kesihatan dan pemangkin ekonomi bumiputera.
Beliau berkata penubuhan hospital itu akan melengkapkan ekosistem pendidikan Mara khususnya UniKL RCMP yang menawarkan bidang perubatan dan kesihatan seperti kejururawatan, farmasi, fisioterapi serta program berkaitan.
Beliau berkata latihan klinikal dan pengalaman di hospital pengajar merupakan antara keperluan dalam melengkapkan ekosistem pendidikan berkenaan.
Mara juga, katanya mempunyai komponen lain yang boleh menyokong pembangunan hospital itu menerusi institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), bidang kejuruteraan dan teknologi, selain jaringan keusahawanan, pembiayaan serta pembangunan industri.
Program sains bioperubatan di UniKL Malaysian Institute of Medical Science Technology (UniKL MESTECH) dan disiplin teknologi di kampus UniKL lain juga boleh disepadukan dalam ekosistem Hospital Mara.
“Malah Hospital Mara boleh berfungsi sebaga living lab (makmal hidup) untuk pelajar dan penyelidik Mara. Pelajar KKTM (Kolej Kemahiran Tinggi Mara) boleh terlibat dalam teknologi peralatan dan sistem hospital, pelajar UniKL RCMP menjalani latihan klinikal, kampus UniKL lain membangunkan AI (kecerdasan buatan), IoT (Internet benda), robotik atau peranti perubatan, sementara usahawan Mara membekalkan produk serta perkhidmatan kepada ekosistem tersebut,” katanya.
Beliau berkata rangkaian UniKLINIK, UniFarmasi dan UniDental yang dimiliki usahawan profesional bumiputera di bawah Program Pembangunan Usahawan Profesional (ProSPEC) pula boleh menjadi rangkaian penjagaan kesihatan barisan harapan yang menyokong hospital berkenaan.
“Setelah puluhan tahun kita melahirkan doktor, jururawat, ahli farmasi dan profesional kesihatan, sudah tiba masanya Mara bukan sahaja melahirkan tenaga profesional dalam industri kesihatan tetapi turut membina dan memiliki institusi yang menjadi tempat mereka berkhidmat, melakukan penyelidikan dan akhirnya menerajui industri tersebut,” katanya.
-- BERNAMA