KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar 6,000 liter minyak petrol ke negara jiran selepas menahan sebuah bot pam membawa muatan bahan api itu diperairan Kudat di sini awal pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar, berkata pihaknya yang bertindak atas maklumat telah mengesan sebuah bot pam pada kedudukan 2.8 batu nautika barat laut Pulau Mandi Darah pada pukul 4 pagi ketika menjalankan Op Sejahtera, Op Tiris, Op Pluto Timur dan Op Cegah PATI.

Katanya semasa menghampiri bot suspek yang bergerak perlahan dalam keadaan mencurigakan serta gelap, dua individu bertindak nekad terjun ke laut cetek dan melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan membawa muatan 30 tong berwarna biru berisi minyak petrol dianggarkan lebih kurang 6,000 liter serta enam tong gas berwarna kuning.

"Kesemua barang terbabit dibawa tanpa permit yang sah dan disyaki untuk tujuan pasaran gelap atau diseludup ke negara jiran berhampiran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasbullah berkata bot serta barang rampasan yang dianggarkan bernilai hampir RM60,000 dibawa ke Jeti Marina Kudat untuk siasatan lanjut.

Katanya kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa muatan barang kawalan tanpa permit yang sah.

-- BERNAMA