BAGAN DATUK: Masjid perlu menjadi sebahagian daripada ekosistem pelancongan negara sambil menjalankan peranan sebagai rumah ibadah, pusat dakwah dan institusi yang mendekatkan masyarakat kepada Islam.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata institusi masjid boleh berperanan sebagai sebahagian daripada perjalanan pelancong mengenali sejarah, budaya dan ketamadunan Islam di Malaysia.
“Apabila mereka datang, biar yang dibawa pulang bukan hanya gambar keindahan masjid tetapi juga pengalaman keramahan masyarakat dan nilai Islam yang mereka temui di Malaysia. Sebab itu inisiatif seperti Hari Terbuka Masjid Kebangsaan (NMOD) mempunyai nilai cukup besar,” katanya pada perasmian NMOD 2026 di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun kerana Ahmad Zahid kurang sihat.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata sudah tiba masa untuk lebih banyak masjid di negara ini menganjurkan program seperti NMOD yang membuka ruang kepada masyarakat pelbagai latar belakang, usia dan agama mendekati institusi masjid dalam suasana yang harmoni.
Ia sekali gus melahirkan persefahaman, rasa saling menghormati dan penghargaan terhadap institusi masjid sebagai sebahagian daripada warisan serta identiti negara, selain memberikan peluang untuk mereka mengenali Islam dengan lebih dekat, merapatkan jurang persepsi dan membina kefahaman.
“Melalui cara kita menyambut, melayani dan berinteraksi dengan mereka akan memperlihatkan Islam sebenar yang berpaksikan rahmah, hikmah dan ihsan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan apabila Masjid Tuminah Hamidi di sini yang siap pada 2023 sebagai wakaf buat ibu bapanya disenaraikan sebagai Masjid Pelancongan ke-98 oleh Islamic Tourism Centre (ITC) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Sementara itu, Ketua Pengarah ITC Mohammad Faisal Abu Suaib Khan ketika ditemui berkata pemilihan Masjid Tuminah Hamidi sebagai Masjid Pelancongan susulan keunikan seni bina dan mempunyai galeri sebagai pusat ilmu Islam, dan beliau berharap lebih banyak masjid dapat disenaraikan.
“Malaysia mempunyai 6,851 masjid dan kita berharap jumlah Masjid Pelancongan akan meningkat dengan lebih banyak masjid yang mempunyai keunikan dan sejarah tersendiri boleh dipromosikan sebagai produk pelancongan Islam,” katanya.
Beliau berkata ITC bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri dalam membangunkan garis panduan serta menyelaraskan penglibatan pengurusan masjid.
“Bagi menyokong ekosistem ini, inisiatif ITC seperti Pengiktirafan dan Jaminan Pelancongan serta Hospitaliti Mesra Muslim (MFAR) serta Pemandu Pelancong Mesra Muslim (MFTG) turut memperkukuh mesra Muslim selaras dengan konsep Muslim Friendly, not Muslim Only,” katanya.
NMOD 2026 anjuran ITC berlangsung selama tiga hari bermula 13 Ogos di Masjid Tuminah Hamidi dan Dataran Bagan Datuk melibatkan pelbagai program yang menggabungkan elemen kerohanian, komuniti, budaya, rekreasi dan aktiviti keluarga diadakan.
-- BERNAMA