Ringkasan AI
- Sasaran Pendapatan: MBI Selangor menyasarkan pendapatan sehingga RM8 bilion menjelang tahun 2028 melalui pelan THRIVE28.
- Pelan Tiga Fasa: Pelan ini terdiri daripada tiga fasa - pengukuhan organisasi (2022-2024), optimumkan dan kekalkan momentum pertumbuhan (fasa kedua), dan mempercepat pertumbuhan serta mengukuhkan pelaksanaan (2027-2028).
- Diversifikasi Portfolio: MBI Selangor sedang meluaskan portfolio perniagaan melangkaui hartanah kepada sektor seperti air, utiliti, dan telekomunikasi untuk mengurangkan kebergantungan kepada tanah.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) MBI Selangor, Datuk Saipolyazan M Yusop berkata, pelan tiga fasa itu akan memposisikan MBI Selangor sebagai sebuah syarikat pemegang pelaburan.
"Kami letakkan tiga fasa untuk capai matlamat ini. Pertama, pada tahun 2022 sehingga 2024 kita hendak kukuhkan organisasi melalui tadbir urus, kakitangan dan bakat. Kita kemaskan anak-anak syarikat.
“Fasa kedua, kita fokus kepada optimumkan dan kekalkan momentum pertumbuhan syarikat. Kita menyediakan 10 kluster; lima kluster komersial yang memberi keuntungan kepada MBI dan lima kluster daripada syarikat-syarikat strategik yang melaksanakan program-program untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
MBI Selangor sasar pendapatan RM8 bilion menjelang 2028 melalui pelaksanaan THRIVE28
Tambah Saipolyazan, fasa ketiga THRIVE28 ialah fasa Perubahan yang mana MBI Selangor menyasarkan untuk mempercepat pertumbuhan yang telah dilaksanakan dalam fasa kedua.
“Fasa ketiga ialah fasa perubahan antara tahun 2027 hingga 2028. Kita sasarkan untuk mempercepat pertumbuhan syarikat-syarikat kita dan mengukuhkan pelaksanaan THRIVE28, kita lancarkan Pelan Strategik Kumpulan (GSB) yang merupakan peta hala tuju MBI untuk melihat portfolio-portfolio perniagaan yang akan dilaksanakan,” ujarnya.
Beliau berkata MBI Selangor ketika ini sedang meluaskan portfolio perniagaan melangkaui perniagaan berasaskan hartanah.
"Sebelum ini kami banyak tumpu kepada perniagaan hartanah. Suatu hari nanti tanah akan habis. Maka kami lihat perniagaan-perniagaan lain seperti air, utiliti, telekomunikasi dan sebagainya untuk membantu mengurangkan kebergantungan kepada tanah,” katanya lagi.
Agenda AWANI: Kumpulan MBI Selangor | Pemacu pertumbuhan ekonomi & kemakmuran negeri
