Dalam kenyataannya MBPP memaklumkan menerusi operasi bersepadu bermula 8.30 pagi itu, pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Barat Daya telah menjalankan pemeriksaan dan melaksanakan Pemusnahan Tempat Pembiakan (PTP) di semua 'spot' yang berpotensi pembiakan serangga pembawa penyakit.
MBPP melalui Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Jabatan Penguatkuasaan MBPP pula turut turun padang membantu operasi tersebut dengan membuat tindakan penguatkuasaan.
"Berdasarkan siasatan dan respons daripada penghuni rumah itu, semua sampah sarap tersebut mahu dikelaskan mengikut kategori yang bernilai untuk dijual ke pusat kitar semula.
"Bagaimanapun, keadaan kesihatan penghuni yang kurang memuaskan adalah mustahil untuk mereka menguruskan sampah sarap itu yang kuantitinya bertambah setiap hari dan ia menimbulkan kegusaran penduduk berhubung aspek keselamatan serta kesihatan di kawasan itu, terutamanya wabak denggi," menurut MBBP dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Menurut kenyataan itu, MBPP bertindak atas aduan dan siasatan setelah pada 7 Okt lepas pejabat Kesihatan Daerah Barat Daya mengeluarkan Notis di bawah Seksyen 8 Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 kepada penghuni kediaman tersebut.
Menurut MBBP keadaan persekitaran rumah itu namun masih berada di tahap membimbangkan dan pejabat Kesihatan Daerah Barat Daya memutuskan untuk mengadakan tindakan penguatkuasaan menerusi satu operasi bersepadu semalam.
"Dalam operasi pembersihan itu, 20 orang wira baju kuning MBPP telah ditugaskan untuk mengutip semua sampah sarap yang berpotensi menjadi pusat pembiakan serangga pembawa penyakit.
"Operasi yang tamat pada jam 1.30 petang menyaksikan sebanyak 4,440 kg sampah telah dipungut dan terpaksa menggunakan enam lori besar bagi mengangkut sampah untuk dilupuskan," menurut kenyataan itu.
MBPP memaklumkan penghuni rumah itu turut dikenakan caj perkhidmatan sebanyak RM2021.74 bagi semua kerja-kerja mengutip, mengangkut dan melupuskan sampah yang dilaksanakan oleh pihaknya.
Menurut kenyataan itu penghuni rumah juga diberi amaran supaya tidak lagi membawa masuk sampah sarap baharu ke dalam kawasan kediamannya serta perlu menguruskan pelupusan semua baki sampah sarap dengan kadar segera.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)