Skip to main content

Malaysia

MCMC minta 47,412 kandungan buli siber diturunkan tahun ini, TikTok tertinggi

Fahmi hadir pada program Pelajar Pemacu Negara: 'Sayangi Diri, Jauhi Dadah dan Hargai Kehidupan' di sini pada Rabu. - Foto Ikqwan Lee
Fahmi hadir pada program Pelajar Pemacu Negara: 'Sayangi Diri, Jauhi Dadah dan Hargai Kehidupan' di sini pada Rabu. - Foto Ikqwan Lee

Advertisement

Ringkasan AI

  • MCMC meminta 47,412 kandungan berkaitan buli siber di platform digital diturunkan dari 1 Januari hingga 27 Oktober tahun ini.
  • TikTok mencatat 81 peratus kandungan buli siber yang dikenal pasti, diikuti Facebook dengan 12 peratus berdasarkan aduan orang ramai.
  • Fahmi Fadzil menegaskan usaha membendung buli siber memerlukan kerjasama semua pihak dan komunikasi berkesan dengan golongan muda.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 47,412 kandungan berkaitan buli siber di platform digital diminta diturunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi tempoh 1 Januari hingga 27 Oktober tahun ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, TikTok merekodkan jumlah tertinggi dengan 81 peratus daripada kandungan buli siber yang dikenal pasti.

"Facebook pula merupakan platform kedua tertinggi dengan 12 peratus kandungan bersifat buli siber yang dikenal pasti.

"Jumlah itu berdasarkan aduan orang ramai yang diterima MCMC, namun bukan semua kandungan berkenaan diturunkan.

"Kita tidak boleh benarkan platform-platform media sosial ini menjadi tempat buli berleluasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Pelajar Pemacu Negara: 'Sayangi Diri, Jauhi Dadah dan Hargai Kehidupan' di sini pada Rabu.

Fahmi berkata, budaya buli yang berlaku dalam talian tidak seharusnya dipandang ringan kerana kesannya boleh berlanjutan ke dunia nyata, termasuk dalam bilik darjah dan persekitaran sekolah.

Katanya, usaha membendung gejala itu memerlukan kerjasama semua pihak dan tidak boleh hanya bergantung kepada tindakan polis atau guru.

Beliau turut menggalakkan lebih ramai anggota polis menghasilkan kandungan kreatif yang dekat dengan golongan Generasi Z bagi meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan digital dan bahaya buli siber.

Katanya, penggunaan pendekatan komunikasi yang sesuai dengan trend dan budaya golongan muda mampu membantu menyampaikan mesej pencegahan dengan lebih berkesan.

Must Watch Video

Advertisement