Skip to main content

Malaysia

MCMC siasat individu disyaki muat naik kandungan hina Islam

MCMC memaklumkan pihaknya telah merakam percakapan individu berkenaan bagi membantu siasatan, serta menyita satu unit telefon bimbit dan e-sim untuk tujuan pemeriksaan forensik. - Gambar fail/MCMC
MCMC memaklumkan pihaknya telah merakam percakapan individu berkenaan bagi membantu siasatan, serta menyita satu unit telefon bimbit dan e-sim untuk tujuan pemeriksaan forensik. - Gambar fail/MCMC

Advertisement

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan siasatan terhadap seorang individu susulan kandungan disyaki menghina agama Islam, yang dimuat naik menerusi Facebook.

MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kandungan itu dibuat berkait penggunaan perkataan lighad, yang merujuk kepada ayat 18 Surah al-Hashr, dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

“Kandungan tersebut didakwa mempersenda ayat suci al-Quran, hingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” menurut MCMC dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan dengan itu, MCMC memaklumkan pihaknya telah merakam percakapan individu berkenaan bagi membantu siasatan, serta menyita satu unit telefon bimbit dan e-sim untuk tujuan pemeriksaan forensik.

Menurut kenyataan suruhanjaya itu, kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

MCMC menegaskan kebebasan bersuara di media sosial perlu diamalkan secara bertanggungjawab dengan menghormati sensitiviti agama, serta memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement