MELAKA: Kerajaan negeri menerusi Perbadanan Melaka (MCORP) akan menggunakan kaedah baik pulih bagi membangunkan semula bangunan Melaka Sentral yang sebelum ini berdepan pelbagai isu termasuk masalah infrastruktur dan fasiliti.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ia merupakan pembangunan berterusan di kawasan itu selepas Jejantas Tun Teja dalam usaha memacu kehadiran pelancong dan pengunjung serta perkembangan ekonomi setempat.

"Apa yang pasti, bangunan Melaka Sentral ini tidak akan dirobohkan tetapi kerja-kerja pemuliharaan dan baik pulih pada bahagian yang rosak bakal dilaksanakan kerana bangunan itu mempunyai identiti tersendiri.

"Mengenai kos dan peruntukan akan saya perincikan setelah mengambil kira pelbagai faktor namun kita akan memilih pendekatan baik pulih kerana kosnya lebih praktikal berbanding diroboh dan dibina baharu bangunan terminal bas ini," katanya.

Ab Rauf berkata kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu di Melaka Sentral di sini hari ini.

Beliau berkata faktor keselesaan pengguna khususnya penumpang yang menggunakan perkhidmatan bas di bangunan yang dibina pada 2003 itu juga menjadi intipati utama dalam pelaksanaan projek berkenaan yang dijangka mengambil masa antara tiga hingga lima tahun.

"Perkara ini penting kerana terdapat lebih 220 perjalanan bas yang keluar masuk setiap hari di sini dan sebab itulah kita perlu beri satu kaedah pemulihan berbanding bina semula bagi mengelak pengguna di sini terjejas," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai WRUR DUN Pengkalan Batu di bawah pimpinan Datuk Kalsom Noordin, beliau berkata program selama dua minggu yang bermula 10 Feb lepas berjaya menyelesaikan 47 isu daripada 364 aduan yang disantuni di samping 167 program berjaya dilaksanakan.

"Bagi WRUR seterusnya, dua DUN akan dijalankan serentak iaitu DUN Sungai Udang dan DUN Lendu dan saya berharap momentum kerjasama antara semua pihak yang terlibat dalam program ini dikekalkan kerana kerajaan negeri optimis menyelesaikan masalah atau isu rakyat khususnya di kawasan DUN terlibat," katanya.

-- BERNAMA