KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bagi membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) bermula tepat 10 pagi ini.
Sebaik loceng dibunyikan, Ahli-Ahli Parlimen mula memasuki dewan bagi mengikuti pembentangan laporan berkenaan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, Mesyuarat Khas Penggal Kelima Parlimen Ke-15 itu turut memberi tumpuan kepada pelan pemulihan serta tindakan susulan yang telah diambil bagi mengukuhkan semula kedudukan kewangan Tabung Haji.
Selepas sesi pembentangan, persidangan yang berlangsung tanpa waktu rehat itu diteruskan dengan sesi pertanyaan dan perbahasan oleh Ahli-Ahli Parlimen.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil sebelum ini dilaporkan berkata, sekurang-kurangnya 35 hingga 40 Ahli Parlimen telah menyatakan kesediaan untuk mengambil bahagian dalam sesi perbahasan tersebut.
Sesi penggulungan pula dijadualkan dilakukan secara bersama oleh Zulkifli dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada akhir persidangan nanti.
Orang ramai boleh mengikuti persidangan sehari itu secara langsung menerusi platform YouTube Parlimen Malaysia serta saluran BERNAMA TV di Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121, selain melalui Facebook Live dan YouTube BERNAMA TV.
Mesyuarat khas ini diadakan selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, yang membolehkan sidang diadakan ketika Dewan dalam tempoh tangguhan sekiranya melibatkan kepentingan awam yang mustahak.
Sidang itu menyusul selepas penerbitan laporan penuh RCI setebal 211 halaman yang mendedahkan pelbagai kelemahan tadbir urus dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020, termasuk isu campur tangan politik.
Dapatan RCI yang didedahkan kepada umum pada 29 Julai lepas itu turut mengenal pasti beberapa faktor penyumbang krisis kewangan institusi berkenaan, antaranya amalan perakaunan kreatif dan peningkatan tanggungan Bantuan Kewangan Haji (HAFIS).
-- BERNAMA