SUNGAI PETANI: Program Assalamualaikum RaRa (Ramadan dan Raya) 2025 berlangsung di Murtadha Dakwah Centre (Madad), di Sungai Petani pada Sabtu menarik ramai pengunjung untuk hadir ke program agama itu.

Program anjuran Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) yang membawa tema 'Meriah Lain Macam', jelas mampu menarik perhatian pelbagai lapisan usia bukan setakat penduduk setempat di negeri Jelapang Padi malah ada yang datang dari Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, selain Kelantan dan Terengganu bagi menyaksikan artis dan susunan program dengan lebih dekat.

Dua duta yang diketengahkan pada sesi jelajah ke Kedah, Mierul Aiman dan Meerqeen jelas mampu menarik pengunjung terutama golongan belia ke Masjid Madad yang padat dengan program-program Ramadan yang ada di Astro Oasis terutamanya Tazkirah Malam Jumaat.

Mierul Aiman berkata, program ini perlu diteruskan kerana dapat mengimarahkan dan menghidupkan suasana meriah di masjid selain mempopularkan tempat suci umat Islam itu sebagai pusat komuniti.

“Kemeriahan Ramadan dan Aidilfitri bukan sahaja tentang makanan atau perayaan, tetapi juga bagaimana kita mengeratkan hubungan sesama manusia dan berkongsi kebaikan. Itulah yang menjadikan perayaan ini ‘Meriah Lain Macam’.

“Melihat orang ramai bersatu menyediakan juadah dan berkongsi makanan dengan mereka yang memerlukan sangat menyentuh perasaan. Ia bukan hanya tentang memberi, tetapi juga tentang merasai keberkatan Ramadan dalam cara yang bermakna,” katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui pada Program Assalamualaikum RaRa di Masjid Madad, di sini pada Sabtu.

Turut sependapat, Meerqeen berkata, Assalamualaikum RaRa 2025 mahu mengajak rakyat Malaysia menghargai keunikan, tradisi dan budaya yang ada di setiap negeri sempena Ramadan dan Raya.

Katanya, dia yakin penglibatan artis muda dapat menarik golongan belia untuk datang dan mengimarahkan lagi masjid.

“Saya sebagai generasi muda dan ini salah satu dakwah cara saya untuk menarik generasi muda untuk datang ke masjid.

“Kita tahu bulan Ramadan lazimnya masjid akan penuh tetapi kita mahu terus mengajak golongan muda ini untuk ada rasa cinta dan terus mengimarahkan masjid setiap masa,” katanya.

Jelajah Assalamualaikum telah memasuki tahun kedua bertujuan mempromosikan program-program Ramadan yang terdapat di Astro Oasis terutamanya Tazkirah Malam Jumaat.

Turut diselitkan aktiviti temu bual bersama dengan barisan artis terkenal, Mantai Bersama Astro dan terdapat juga sesi 'Meet & Greet' bersama watak animasi kegemaran kanak-kanak iaitu Didi & Friends dan Omar & Hana.

Pengunjung juga tidak melepaskan peluang untuk bertemu barisan selebriti terkenal seperti Zizan Razak, Meerqeen, Mierul Aiman, Jay Iskandar, Aiman Ameer, Faizal Ismail, Anas Tahir, Putera Muhammad dan Rabbani yang hadir untuk memeriahkan suasana dan menyajikan persembahan yang memukau.

Selepas siri jelajah Assamulaikum RaRa di Masjid Madad, Sungai Petani, siri terakhir akan berlangsung di Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, Kelantan pada 15 Februari.

Jangan lepaskan peluang untuk menyertai pelbagai aktiviti menarik seperti rewang bersama penduduk tempatan, kongsi rezeki bersama selebriti, pertandingan komuniti, rakaman Tazkirah Malam Jumaat, serta persembahan istimewa daripada selebriti.

 Astro Kasih telah membuka tabung khas dengan Kerjasama Yayasan Ikhlas menerusi Kempen Kasih Ramadan.

Sempena Ramadan dan Raya kali ini, Astro Kasih telah membuka tabung khas dengan Kerjasama Yayasan Ikhlas menerusi Kempen Kasih Ramadan. Tabung ini bertujuan untuk membantu golongan yang memerlukan di seluruh Malaysia dan segala sumbangan yang diterima akan disalurkan sepenuhnya untuk golongan yang memerlukan.