Skip to main content

Malaysia

Min Aung Hlaing diberi sambutan rasmi di Perdana Putra

Presiden Min Aung Hlaing memeriksa Kawalan Kehormatan Utama yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, pada Khamis. - Gambar Astro AWANI/ SETH AKMAL
Presiden Min Aung Hlaing memeriksa Kawalan Kehormatan Utama yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, pada Khamis. - Gambar Astro AWANI/ SETH AKMAL

Advertisement

PUTRAJAYA: Presiden Republik Kesatuan Myanmar, Min Aung Hlaing diberikan sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini, sempena lawatan rasmi dua hari beliau ke Malaysia.

Ketibaan Min Aung Hlaing sekitar jam 9 pagi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Majlis sambutan dimulakan dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan sebelum beliau memeriksa Kawalan Kehormatan Utama yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.

Kawalan kehormatan itu diketuai Mejar Muhammad Nur Addeen bin Mustaza.

Antara barisan Jemaah Menteri yang hadir termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Min Aung Hlaing kemudian menandatangani buku pelawat disaksikan Anwar sebelum meneruskan acara seterusnya.

Sejurus selesai majlis sambutan rasmi, kedua-dua pemimpin mengadakan mesyuarat dua hala yang turut disertai delegasi Malaysia dan Myanmar.

Mesyuarat itu dijangka memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan dua hala, termasuk kerjasama ekonomi, selain usaha ke arah keamanan, perdamaian dan rekonsiliasi di Myanmar.

Akses kepada bantuan kemanusiaan dan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat Myanmar turut dijangka menjadi antara perkara yang diberikan perhatian.

Usaha penghantaran pulang warga Myanmar dari Malaysia juga dijangka dibincangkan, susulan pelaksanaan program penghantaran pulang secara sukarela oleh kerajaan.

Kedua-dua pemimpin dijadual mengadakan sidang media bersama selepas mesyuarat dua hala berkenaan bagi memaklumkan hasil perbincangan serta perkembangan kerjasama antara kedua-dua negara.

Malaysia sebelum ini menegaskan pendekatannya terhadap Myanmar adalah melalui keterlibatan secara langsung dan dialog konstruktif bagi menggalakkan keamanan serta kestabilan negara itu.

Min Aung Hlaing tiba di Malaysia pada 12.30 tengah hari Rabu selepas pesawat khas yang membawa beliau bersama delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Lawatan selama dua hari itu merupakan kunjungan pertama Min Aung Hlaing ke Malaysia sejak dilantik sebagai Presiden Myanmar pada tahun ini.

Anwar sebelum ini pernah mengadakan dua pertemuan dengan pemimpin Myanmar itu pada 2025 ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN, sebagai sebahagian daripada usaha keterlibatan Malaysia dengan Myanmar.

Lawatan rasmi Min Aung Hlaing ke Malaysia dijadual berakhir hari ini.
 

Must Watch Video

Advertisement