Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata dalam kejadian 12.15 tengah hari, murid lelaki berusia 10 tahun dirempuh oleh SUV yang tidak memberhentikan kenderaannya ketika anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) mengawal lalu lintas di kawasan itu.
"Akibat kemalangan berkenaan, murid tersebut mengalami kecederaan di bahagian pipi kiri dan sedang menerima rawatan di hospital berdekatan.
"Pemandu SUV iaitu seorang lelaki berusia 66 tahun tampil menyerah diri ke balai polis lebih kurang lima jam selepas kejadian manakala anggota RELA yang bertugas telah dipanggil untuk memberi keterangan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Hafiz berkata polis akan memanggil pihak sekolah untuk membincangkan isu ini bagi memastikan aspek keselamatan murid sekolah terjamin dan kejadian sama tidak berulang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Insp Che Hassan Ambok di talian 013-394 0423 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di talian 03-61561222, katanya.
Semalam, tular satu hantaran di media sosial mengenai kejadian berkenaan yang turut mendakwa pemandu SUV memarahi mangsa selepas kemalangan itu berlaku sebelum meninggalkan lokasi kejadian.
-- BERNAMA
