PUTRAJAYA: Murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Utara, Johor Bahru, Wan Harriz Wan Abdul Qayyum melakar kejayaan membanggakan selepas muncul johan Play-Off Qualifier pertandingan Hippo English Without Borders 2026 yang berlangsung di Doha, Qatar.
Kejayaan manis itu sekali gus melayakkan Wan Harriz mara ke Pusingan Akhir Dunia (World Final Round) yang dijadualkan berlangsung di Spoleto, Itali pada Oktober depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Muhamad Naqib Md Ghazal berkata, pencapaian cemerlang murid berkenaan amat bertepatan dengan Teras 1 Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ), iaitu Penguasaan Bahasa Inggeris.
"Ia secara tidak langsung memperkukuhkan aspirasi SRBJ dalam melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, malah memiliki keyakinan diri yang tinggi, kemahiran komunikasi yang kukuh serta berupaya bersaing di pentas antarabangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.
SRBJ merupakan cetusan ilham Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, sebagai salah satu inisiatif strategik bagi memperkasa sistem pendidikan negeri demi melahirkan generasi Bangsa Johor yang holistik, berdaya saing dan berpandangan jauh.
Hippo English Without Borders merupakan pertandingan bahasa Inggeris bertaraf antarabangsa yang berprestij bagi pelajar berumur antara enam hingga 19 tahun, menarik penyertaan lebih 90,000 pelajar dari lebih 70 negara di seluruh dunia.
Pertandingan ini digubal selaras dengan piawaian Common European Framework of Reference for Languages (CEFR) yang menilai tahap penguasaan menyeluruh peserta merangkumi aspek membaca, menulis, mendengar, bertutur serta tatabahasa.
Selain kejayaan Wan Harriz, wakil Malaysia turut mencatatkan pencapaian membanggakan menerusi murid SJKC Sin Hwa, Aaron Yung Wayze.
Aaron berjaya muncul Johan Pusingan Benua Asia-Pasifik Hippo English Without Borders ke-14 yang berlangsung di Phuket, Thailand dari 2 hingga 5 Julai lalu.