KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mengenakan tindakan yang lebih tegas dan hukuman yang lebih berat bagi kesalahan mencemarkan sumber air dan alam sekitar berikutan terlalu banyak insiden sedemikian sehingga menjejaskan bekalan air bersih negara.
Dalam satu kenyataan Persatuan Air Malaysia (MWA) melahirkan kebimbangan terhadap gangguan bekalan air terawat dan pencemaran sumber air mentah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Antara kes terbaru yang dikesan berlaku pencemaran ketika tempoh PKP ialah di Ulu Keratong, Pahang minggu lalu.
Menurut Presidennya, Dr Ir Ts Haji Mohmad Asari Daud, MWA berasa bimbang dengan insiden gangguan bekalan air terawat di Keratong baru-baru ini kerana ia menjejaskan pelbagai aktiviti harian masyarakat terutama ketika negara berhadapan dengan pandemik COVID-19.
“Turut terjejas tentunya pengguna-penguna daripada sektor industri dan komersil yang mana mengalami gangguan terhadap operasi dan mungkin melibatkan kerugian yang besar kepada syarikat terutama ketika ini berhadapan dengan pelbagai cabaran baru.
“Bagaimanapun MWA memuji tindakan pantas Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta operator-operator air dari seluruh negara yang turut memberikan bantuan bagi meringankan masalah yang dihadapi oleh penduduk-penduduk di kawasan terbabit,” Mohamad Asari dalam kenyataan medianya semalam.
Pencemaran yang berlaku Sungai Pukin, Ulu Keratong, Rompin, Pahang itu telah menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Keratong yang menerima sumber air mentah dari Sungai Pukin dekat Rompin tidak dapat beroperasi sepenuhnya. Pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) terpaksa menyediakan sejumlah 300 buah tangki air statik dan 28 buah lori tangki ke kawasan yang terjejas.
Menurut Mohmad Asari, MWA mendapati pencemaran tersebut berpunca daripada kejadian tebing kolam penyimpanan air sisa kilang kelapa sawit yang runtuh. Ini telah memberi kesan buruk kepada 11,500 pemegang akaun PAIP.
Katanya, apa yang membimbangkan MWA ialah situasi ini bukanlah kali pertama berlaku di negara kita, namun pihak yang terbabit tidak mahu mengambil pengajaran daripada keperitan pengguna bekalan air terawat yang terjejas.
“MWA sebagai Badan Peneraju Industri (Industry Lead Body) untuk industri air dan pembetungan yang juga dilantik oleh Kerajaan memandang serius perkara sebegini dan menyuarakan kebimbangan kami terhadap masa depan industri ini sekiranya kejadian seperti ini terus berulang.
“Pencemaran ke atas sumber air mentah yang kerap berulang ini mengakibatkan loji rawatan air terbabit tidak dapat meneruskan operasi untuk merawat air mentah. Ini kerana operasi loji rawatan air bergantung kepada tahap kualiti air mentah (kebanyakannya bersumber dari sungai) yang tertentu,” ujarnya.
MWA menyifatkan Pihak operator air telah menjalankan tanggungjawab dengan memberhentikan operasi merawat air sekiranya kualiti air di muka sauk tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh SPAN mahupun pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Gangguan operasi yang tidak dirancang seperti ini sering menyebabkan gangguan kepada operasi penyaluran bekalan air terawat kepada pengguna.
“Akhir tahun lalu, pengguna-pengguna bekalan air terutama di Selangor dan Wilayah Persekutuan terpaksa berhadapan dengan insiden pencemaran sungai yang menyebabkan beberapa loji rawatan air utama henti tugas.
"Insiden kekerapan penutupan LRA Sungai Selangor dan LRA Rantau Panjang adalah berpunca daripada pencemaran sumber air mentah yang disebabkan oleh industri dan pembuangan limbah haram,” katanya.
Menurut MWA penutupan berulang kali juga berlaku di loji rawatan lainnya. Antaranya, LRA Semenyih dan LRA Sungai Selisik di Selangor serta penutupan LRA Sungai Sayong, LRA Semangar, LRA Sungai Johor, LRA Simpang Renggam, LRA Skudai dan LRA PUB Tai Hong di Johor.
“Loji-loji terbabit pernah berhadapan dengan insiden henti tugas sepenuhnya akibat pencemaran sumber air mentah yang didapati berpunca daripada kejadian kebocoran kolam air larutan resapan (leachate) di tapak-tapak pelupusan sampah, pelepasan tidak mematuhi peraturan dari kilang-kilang serta kecuaian pihak-pihak yang mengendalikan bahan-bahan pencemar sehingga menyebabkan pencemaran air mentah.
“Kes terbaru yang berlaku di Ulu Keratong pula amat mengejutkan kerana pencemaran sebegini juga berlaku di kawasan luar bandar.
"Ini bermakna pada masa kini, insiden pencemaran sumber air mentah di sungai-sungai tidak hanya berlaku di kawasan maju dan kawasan perindustrian seperti di negeri Selangor dan Johor,” jelasnya.
Sehubungan itu, pihak MWA beranggapan sudah tiba waktunya bagi semua pemegang taruh dalam industri air untuk meningkatkan usaha secara bersepadu untuk memastikan kejadian seperti ini tidak berulang di masa depan, selain undang-undang dan peraturan yang lebih ketat, penguatkuasaan dan hukuman yang dikenakan hendaklah mampu menjadi deterrent (pencegah) kepada mereka yang tidak bertanggungjawab ini.
“Hukuman yang ringan dan terlalu kecil berbanding keuntungan perniagaan mereka menyebabkan insiden seperti ini masih lagi tidak dapat dibanteras.
"Usaha bersama oleh masyarakat dan semua pihak yang berkepentingan harus digembeling ke arah kesejahteraan persekitaran kita dan membantu untuk mencegah kejadian pencemaran sumber air mentah berulang.
"Ia sekali gus dapat mengurangkan kejadian gangguan bekalan air terawat kepada pengguna,” tegas Mohmad Asaari.
Astro Awani
Sat Jul 24 2021

MWA beranggapan sudah tiba waktunya bagi semua pemegang taruh dalam industri air untuk meningkatkan usaha secara bersepadu untuk memastikan kejadian seperti ini tidak berulang di masa depan. - Gambar hiasan/BERNAMA
Fokus Minggu Depan: Keselamatan makanan anak-anak sekolah
Ikuti ulasan Dr Nur Aqilah Amalina binti Jaafar, Pensyarah Jab. Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, UPM berkenaan dengan keselamatan makanan anak-anak sekolah.

Korea Selatan bantah tuntutan Jepun ke atas pulau kecil Dokdo
Korea Selatan pada Sabtu membantah tuntutan berulang kali Jepun terhadap pulau kecil yang terletak di tengah-tengah antara kedua-dua negara, dikenali sebagai Dokdo oleh Korea Selatan dan Takeshima ole
Hamas akan bebaskan enam tebusan warga Israel
Mereka merupakan enam tebusan terakhir yang masih hidup daripada sekumpulan 33 yang akan dibebaskan pada peringkat pertama perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui bulan lalu.
Tiada masalah bekalan santan di Sarawak
Sarawak tidak berhadapan masalah bekalan santan sepanjang bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Aspek keselamatan stesen tren untuk OKU dikaji semula- Anthony
Kementerian Pengangkutan mengarahkan supaya aspek keselamatan di semua stesen tren, khususnya kemudahan bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU), dikaji semula dan dipertingkatkan.

Sarawak belanja RM6 bilion hingga 2030 laksana projek air
Sarawak akan membelanjakan kira-kira RM6 bilion hingga 2030 untuk melaksanakan projek bekalan air ke kawasan luar bandar.

Wanita dilanggar bas ketika minum di restoran
Kemalangan ini mengakibatkan seorang perempuan berusia 51 tahun yang sedang minum di kedai tersebut mengalami kecederaan bengkak di betis akibat terkena serpihan batu bangunan kedai.

Johor tidak benarkan pelaburan berkaitan pengimportan e-waste
Kerajaan negeri tidak akan membenarkan sebarang pelaburan membabitkan pengimportan sisa elektrik dan elektronik (e-waste) ke negeri ini.

Peningkatan titik panas isyarat awal ancaman jerebu rentas sempadan di Asia Tenggara
Kebakaran hutan secara sporadik di Asia Tenggara memberi isyarat tentang jerebu berbahaya, yang boleh membawa kesan besar terhadap ekonomi dan masyarakat, mengingatkan kepada episod jerebu pada 1997.

KPDN perketat pemeriksaan harga, usaha tangani pencatutan sempena Ramadan
Ia bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan mencatut atau membuat kenaikan harga yang tidak selaras dengan perundangan pencatutan.

MWA gesa kerajaan ambil tindakan tegas terhadap pencemar air
Persatuan Air Malaysia (MWA) melahirkan kebimbangan terhadap gangguan bekalan air terawat dan pencemaran sumber air mentah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)