BARCELONA: Malaysia menyeru kerjasama global yang lebih kukuh dalam usaha membina masa depan yang lebih terhubung, inovatif dan lestari, sekali gus menekankan kepentingan transformasi digital dalam memacu pertumbuhan ekonomi serta kemajuan masyarakat.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, ketika merasmikan Pavilion Malaysia di Mobile World Congress (MWC) 2025 di sini hari ini, berkata Malaysia terus komited untuk memanfaatkan kemajuan teknologi bagi merapatkan jurang digital dan meningkatkan keterhubungan.

“Kami mengalu-alukan kerjasama dunia dalam membentuk masa depan digital – yang dipacu oleh kelestarian, keterangkuman dan inovasi canggih.

“Bersama-sama, kita dapat membina dunia di mana inovasi bukan sekadar aspirasi, tetapi menjadi cara hidup.

“Marilah kita memimpin dengan tujuan dan mencipta masa depan yang lebih terhubung, inovatif dan lestari,” katanya.

Beliau berkata, penyertaan Malaysia di MWC 2025 mencerminkan komitmen negara dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa bagi mempercepat transformasi digital, dengan memastikan elemen keterangkuman dan kelestarian sentiasa diberi keutamaan.

Pavilion Malaysia, yang menjadi platform untuk mempamerkan kemajuan teknologi negara, menonjolkan pencapaian Malaysia dalam pelaksanaan rangkaian 5G, kecerdasan buatan (AI) dan pengukuhan infrastruktur digital.

Mohamad Fauzi berkata, kemajuan pesat ekonomi digital Malaysia didorong oleh inisiatif nasional utama seperti Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), kejayaan pelaksanaan 5G serta penubuhan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bagi memperkasa komuniti setempat.

Setakat 31 Disember 2024, lebih 9.03 juta premis telah mendapat akses kepada Internet berkelajuan tinggi menerusi JENDELA, sekali gus mengatasi sasaran awal kerajaan sebanyak 9 juta premis menjelang 2025, manakala kelajuan jalur lebar mudah alih negara telah mencapai median 105.36 Mbps.

“Malaysia juga berjaya mencapai liputan 5G sebanyak 82.4 peratus di kawasan berpenduduk, dengan kadar penembusan mudah alih 5G sebanyak 56.18 peratus.

“Pencapaian ini mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain digital utama di rantau ASEAN,” katanya.

Beliau turut menekankan usaha rintis Malaysia dalam perkongsian infrastruktur melalui inisiatif 6-Way Multi-Operator Core Network (MOCN) yang membolehkan pengendali rangkaian mudah alih mengoptimumkan sumber sambil memperluaskan keterhubungan di seluruh negara.

Inisiatif itu, yang pertama seumpamanya di rantau ASEAN, telah menetapkan penanda aras baharu dalam kerjasama antara penyedia perkhidmatan mudah alih, kerajaan negeri dan pihak berkuasa kawal selia.

Pada masa sama, MCMC Nexus telah mengubah daripada ujian kepantasan mudah kepada alat analitik canggih yang menyediakan maklumat terperinci prestasi rangkaian dan pengalaman pengguna di seluruh negara.

Ia membolehkan pengguna rangkaian Internet melaporkan secara terus ke aplikasi tersebut dan ia akan terus dilaporkan kepada penyedia perkhidmatan untuk menambah baik perkhidmatan mereka.

Buat pertama kali, Malaysia membuat perubahan ketara dalam penyertaannya di MWC dengan menghimpunkan kehadirannya di bawah Pavilion Malaysia.

Langkah ini, yang disokong oleh Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),  serta pengendali rangkaian mudah alih (MNO) utama, bertujuan meletakkan Malaysia sebagai peneraju ekonomi digital di ASEAN dan pemain utama di peringkat global.

MWC 2025, yang berlangsung dari 3 hingga 6 Mac di Barcelona, merupakan pameran teknologi mudah alih terbesar di dunia, menghimpunkan pemimpin industri, pembuat dasar dan inovator bagi membincangkan masa depan keterhubungan digital.