LANGKAWI: Krisis Myanmar yang berlarutan dan ketegangan di Laut China Selatan dijangka menjadi agenda utama perbincangan di Pemukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) di sini pada hujung minggu ini, menurut Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Beliau berkata isu lain yang turut disentuh pada mesyuarat itu termasuk penipuan dalam talian rentas sempadan dan pemerdagangan manusia.

"Sudah tentu, ini akan dibincangkan oleh Menteri Luar ASEAN dan seperti sebelum ini, situasi di Myanmar akan diberikan perhatian oleh negara anggota ASEAN, selain kebimbangan terhadap jenayah rentas sempadan, penipuan pekerjaan dalam talian atau penipuan secara umum.

"Ini telah menjadi kebimbangan utama bukan sahaja untuk anggota ASEAN tetapi juga rakan-rakan di luar ASEAN," katanya pada sidang media menjelang AMM di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi, Jumaat.

Konflik pasca rampasan kuasa Myanmar kini memasuki tahun keempat tanpa sebarang penyelesaian.

Myanmar akan menghantar wakil bukan politik ke AMM.

Mengenai isu Laut China Selatan, Amran berkata mengekalkan keamanan di perairan yang menjadi pertikaian akan menyumbang bukan sahaja kepada keselamatan serantau tetapi juga kemakmuran.

Tuntutan bertindih ke atas pulau dan maritim telah menyebabkan ketegangan di Laut China Selatan.

Terdahulu, Amran yang mengetuai Malaysia dalam Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) bertemu rakan sejawatannya dari Brunei Darussalam, Singapura, Indonesia dan Vietnam sebelum mesyuarat pada Sabtu.

Permukiman AMM selama dua hari itu akan dihadiri oleh menteri luar dan perwakilan dari 10 negara anggota ASEAN.

Menteri Luar Timor-Leste akan hadir sebagai pemerhati.

Permukiman AMM akan menandakan mesyuarat besar pertama di bawah kepimpinan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, membuka tirai bagi tahun yang sibuk dan penting di hadapan.

Malaysia pernah menjadi pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA