Skip to main content

Malaysia

Myanmar mula bebaskan etnik Rakhine dihantar pulang dari Malaysia - Laporan

Pada 26 Okt, Mohamad memberitahu Dewan Rakyat bahawa Malaysia akan meminta penjelasan daripada Myanmar berhubung dakwaan kira-kira 300 individu yang dihantar pulang masih ditahan di pusat tahanan tentera. - Gambar fail/BERNAMA
Pada 26 Okt, Mohamad memberitahu Dewan Rakyat bahawa Malaysia akan meminta penjelasan daripada Myanmar berhubung dakwaan kira-kira 300 individu yang dihantar pulang masih ditahan di pusat tahanan tentera. - Gambar fail/BERNAMA

Advertisement

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa tentera Myanmar dilaporkan telah mula membebaskan etnik Rakhine yang dihantar pulang dari Malaysia selepas Kuala Lumpur meminta penjelasan berhubung laporan mengenai penahanan mereka.

The Irrawaddy melaporkan pada 29 Okt bahawa pembebasan itu dilakukan dua hari selepas Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menjawab soalan di Parlimen berhubung keadaan individu yang dihantar pulang itu.

Memetik Khamee Youth Unity Association serta keterangan seorang individu yang telah dibebaskan, laporan itu menyatakan bahawa tahanan yang memiliki dokumen pengenalan diri dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Advertisement

“Adik lelaki saya hanya dibebaskan semalam.

“Saya sendiri tidak tahu bahawa dia antara mereka yang dibebaskan,” kata seorang lelaki Khamee yang enggan dikenali atas faktor keselamatan kepada The Irrawaddy, sambil memberitahu adiknya dibebaskan selepas keluarga mereka mengemukakan dokumen yang diperlukan.

Advertisement

The Irrawaddy melaporkan lebih 400 etnik Rakhine adalah antara hampir 1,500 warga Myanmar yang dihantar pulang dari Malaysia pada akhir September lepas.

Ketika individu lain yang dihantar pulang dibenarkan pulang sebaik tiba, etnik Rakhine dilaporkan ditahan untuk disoal siasat di kemudahan tahanan tentera di kawasan perbandaran Thanlyin dan Hlaingthayar, Yangon.

Persatuan itu berkata 26 individu Khamee adalah antara mereka yang ditahan.

Pada 26 Okt, Mohamad memberitahu Dewan Rakyat bahawa Malaysia akan meminta penjelasan daripada Myanmar berhubung dakwaan kira-kira 300 individu yang dihantar pulang masih ditahan di pusat tahanan tentera, selain mengarahkan kuasa usaha sementaranya untuk menyiasat keadaan mereka.

Mohamad berkata penghantaran pulang itu dilakukan secara sukarela dan Myanmar telah memberikan jaminan berhubung keselamatan individu terbabit. Program itu menyasarkan penghantaran pulang 5,000 warga Myanmar secara berperingkat.

Pada 29 Sept, Malaysia menghantar pulang 1,476 warga Myanmar yang terdiri daripada 1,370 lelaki, 79 wanita dan 27 kanak-kanak yang dipindahkan dari 14 depot tahanan imigresen menggunakan tiga kapal tentera laut Myanmar, termasuk sebuah kapal hospital.

Myanmar dilanda konflik sejak pihak tentera merampas kuasa pada 2021. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi manusia telah memberi amaran bahawa keadaan semasa tidak menjamin kepulangan yang selamat.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement