Dalam satu kenyataan, pengurusan Mydin Meru Raya memaklumkan, pengoperasian itu dilakukan selepas mendapat kebenaran dan kelulusan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Menurut kenyataan itu, kebakaran yang berlaku jam 8.38 malam tersebut, hanya insiden kecil membabitkan papan tanda luar bangunan.
"Dalam kejadian tersebut, semua pelanggan dan kakitangan berjaya keluar dengan selamat menerusi bantuan bomba serta petugas Mydin," katanya.
Sinar Harian melaporkan, kebakaran berlaku mengakibatkan pengunjung yang sedang membeli-belah di dalam pasar raya berkenaan cemas sebelum lari menyelamatkan diri.
Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan anggota bomba yang tiba di lokasi mendapati papan tanda di luar bangunan itu terbakar dianggarkan sebanyak 10 peratus.
Pada 10 Mac tahun lalu, Pasar Raya Besar Mydin di Manjoi terbakar sehingga mengakibatkan berlaku runtuhan dinding pada bahagian kanan premis. - Sinar Harian
