Skip to main content

Malaysia

MyLesen B2: 25,464 peserta selesai latihan, peroleh PDL

Kerajaan menyediakan 30,000 kuota bagi pelaksanaan MyLesen B2 pada 2026, dengan peruntukan sebanyak RM11.186 juta.
Kerajaan menyediakan 30,000 kuota bagi pelaksanaan MyLesen B2 pada 2026, dengan peruntukan sebanyak RM11.186 juta.

Advertisement

Ringkasan AI

  • Seramai 25,464 peserta Program MyLesen B2 telah berjaya memperoleh Lesen Memandu Percubaan B2, iaitu 85 peratus daripada kuota tahun ini.
  • Kerajaan menyediakan 30,000 kuota MyLesen B2 untuk tahun 2026 dengan peruntukan RM11.186 juta, dan pelaksanaan di 11 negeri telah capai 100 peratus.
  • Bagi Program MyLesen B2 Sekolah, 50,642 pelajar ditawarkan penyertaan, dengan 7,157 pelajar telah memperoleh Lesen Memandu Percubaan B2 setakat ini.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 25,464 peserta Program MyLesen B2 berjaya menamatkan keseluruhan proses latihan dan memperoleh Lesen Memandu Percubaan (PDL) B2 setakat ini, iaitu kira-kira 85 peratus daripada kuota program tahun ini.

Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan kerajaan menyediakan 30,000 kuota bagi pelaksanaan MyLesen B2 pada 2026, dengan peruntukan sebanyak RM11.186 juta.

Menurut kementerian itu, 30,660 individu telah ditawarkan dan bersetuju menyertai program berkenaan iaitu 102.2 peratus daripada sasaran asal, dengan 28,785 peserta telah mendaftar di Institut Memandu.

“Pelaksanaan di 11 negeri telah mencapai 100 peratus, manakala baki peserta di negeri lain sedang menyelesaikan latihan dan ujian sebelum program ditutup pada 31 Okt 2026,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Ia bagi menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengenai proses yang dilalui peserta Program MyLesen B2 daripada peringkat permohonan hingga memperoleh lesen penuh serta sejauh mana pelaksanaan program itu dan MyB2S sehingga kini.

Bagi Program MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) yang menyasarkan pelajar sekolah menengah daripada keluarga B40 termasuk Murid Berkeperluan Pendidikan Khas, MOT memaklumkan sebanyak 50,642 pelajar telah ditawarkan penyertaan.

Daripada jumlah itu, 40,590 peserta masih aktif menjalani proses latihan di Institut Memandu di seluruh negara.

“Sebanyak 30,648 pelajar telah memperoleh LDL, manakala 7,157 pelajar berjaya melepasi keseluruhan proses sehingga memperoleh PDL B2. Angka ini akan terus meningkat kerana sebahagian besar peserta MyB2S pada masa ini masih berada dalam fasa latihan dan ujian praktikal,” menurut kementerian itu.

MOT berkata kerajaan menanggung kos kursus, latihan, ujian pertama serta sehingga dua kali ujian ulangan di bawah MyLesen B2, dengan proses untuk memperoleh PDL lazimnya mengambil masa tiga hingga lima bulan bergantung kepada kehadiran, jadual latihan dan komitmen peserta.

Walaupun pembiayaan disediakan sepenuhnya oleh kerajaan, kementerian menegaskan aspek penilaian tetap perlu dipatuhi tanpa sebarang kelonggaran.

“Prinsip kita mudah, kerajaan membantu dari segi kemampuan kewangan tetapi kompetensi dan keselamatan tidak boleh dikompromi,” menurut MOT.

MOT memaklumkan kedua-dua inisiatif berkenaan bukan sekadar bantuan kewangan untuk memperoleh lesen tetapi juga bertujuann memastikan golongan muda dan B40 menerima latihan formal, memahami undang-undang jalan raya serta memiliki kompetensi asas sebelum menunggang di jalan raya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement