KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak permohonan isteri bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin bagi merujuk persoalan undang-undang mengenai kesahihan pertuduhan gagal mengisytiharkan harta yang dihadapinya ke Mahkamah Tinggi.


Ringkasan AI
  • Mahkamah Sesyen menolak permohonan Toh Puan Na'imah Abdul Khalid, isteri bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, untuk merujuk persoalan undang-undang mengenai kesahihan pertuduhan gagal mengisytiharkan harta ke Mahkamah Tinggi.
  • Hakim Azura Alwi memutuskan permohonan tersebut tidak bermerit kerana tiada isu perlembagaan berbangkit. Na'imah didakwa atas pertuduhan gagal mematuhi notis untuk mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham dan beberapa aset lain.
  • Perbicaraan kes ditetapkan pada 19 hingga 21 November 2025, 21 hingga 23 Januari, dan 3 hingga 5 Februari 2026. Na'imah didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM100,000 jika sabit kesalahan.


Hakim Azura Alwi memutuskan demikian selepas mendapati permohonan Toh Puan Na'imah Abdul Khalid tidak bermerit kerana tiada isu perlembagaan berbangkit dalam kes berkenaan.

Pada 29 Feb tahun lepas, Na'imah memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang membabitkan Seksyen 30(5), Seksyen 36(2) dan Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) serta Seksyen 32(3)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 ke Mahkamah Tinggi.

Azura dalam alasan ringkasnya berkata mahkamah bersetuju hujahan pendakwaan bahawa permohonan berkaitan Seksyen 32(3)(b) AMLATFPUAA adalah remeh, menyusahkan dan penyalahgunaan proses mahkamah kerana tiada pendakwaan dibuat terhadap pemohon di bawah seksyen itu.

"Alasan sama juga terpakai berkaitan Seksyen 30(5) Akta SPRM dan mahkamah mendapati serta bersetuju dengan hujahan pendakwaan bahawa seksyen itu merupakan peruntukan undang-undang bersifat penyiasatan.

"Petikan Hansard yang merupakan Penyata Rasmi Parlimen jelas menunjukkan 'rationale' di sebalik penggubalan peruntukan undang-undang bagi membanteras jenayah rasuah, menjalankan penyiasatan dan merekodkan keterangan saksi-saksi dengan mengambil kira 'peculiarity' dalam kes rasuah. Oleh itu, permohonan pemohonan ditolak," katanya.

Azura kemudian menetapkan 19 hingga 21 Nov tahun ini dan 21 hingga 23 Jan serta 3 hingga 5 Feb 2026 untuk perbicaraan kes berkenaan dan menetapkan 14 Mei ini untuk pengurusan kes.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata 11 saksi pendakwaan akan memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu terdiri daripada pegawai bank, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pejabat Tanah dan Galian dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pada prosiding hari ini, Na'imah diwakili peguam Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid.

Pada 23 Jan tahun lepas, Na'imah, 67, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan gagal mematuhi notis agar mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM100,000 jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA