KUALA LUMPUR: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menyasarkan penjimatan tenaga kumulatif sebanyak 815,000 terajoule (TJ) menerusi Dasar dan Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara (NEEAP 2.0) bagi tempoh 2026 hingga 2035.
Pelan yang dilancarkan bersempena Sidang Kemuncak Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) ke-7 2026 itu turut dijangka menjana nilai penjimatan tenaga sekitar RM85 bilion, menarik RM36 bilion pelaburan swasta serta mewujudkan kira-kira 29,000 peluang pekerjaan baharu.
Ketua Setiausaha PETRA, Datuk Seri Mad Zaidi Mohd Karli berkata, NEEAP 2.0 menjadi antara langkah utama mempercepat peralihan tenaga negara, di samping menangani peningkatan permintaan tenaga dan kesan krisis tenaga global.
Menurut beliau, kecekapan tenaga merupakan antara strategi utama di bawah Dasar Tenaga Negara 2022-2040 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), selain meneruskan momentum yang dimulakan menerusi NEEAP 1.0.
Berbeza dengan NEEAP 1.0 yang memfokuskan kecekapan tenaga elektrik dalam sektor industri, komersial dan domestik, NEEAP 2.0 kini meliputi penggunaan tenaga elektrik dan termal, selaras dengan penguatkuasaan Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga (EECA) 2024.
“NEEAP 2.0 meliputi penggunaan tenaga elektrik dan termal, selaras dengan penguatkuasaan Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga (EECA) 2024.
“Pelaksanaan NEEAP 2.0 disokong dengan pematuhan peruntukan undang-undang EECA 2024 merangkumi pelaporan data dan pelaksanaan audit tenaga” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran NEEAP 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2035 yang berlangsung bersempena ISES ke-7 dan dirasmikan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada Selasa.
NEEAP 2.0 menyasarkan peningkatan kecekapan penggunaan tenaga elektrik dan termal sebanyak 11.6 peratus berbanding keadaan biasa (Business-As-Usual), bersamaan anggaran penjimatan tenaga kumulatif sebanyak 815,000 TJ.
Jumlah penjimatan itu dianggarkan bersamaan dengan keperluan untuk menampung keseluruhan bekalan tenaga elektrik bagi seluruh Semenanjung Malaysia selama hampir dua tahun.
Dari aspek kelestarian alam sekitar, pelaksanaan NEEAP 2.0 dijangka mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 26 juta tan karbon dioksida setara (tCO₂eq) menjelang 2035, sekali gus menyokong aspirasi Malaysia mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
Menurut Mad Zaidi, pelaksanaan NEEAP 2.0 turut dilihat sebagai langkah penting dalam memastikan penggunaan tenaga lebih cekap merentasi tiga sektor utama, iaitu industri, komersial dan domestik.
“NEEAP 2.0 melengkapi pelaksanaan EECA 2024, menetapkan rangka kerja perundangan dan peraturan yang lebih kukuh untuk kecekapan tenaga di Malaysia.
“PETRA mengawasi pematuhan terhadap Akta ini dengan mewajibkan pengguna tenaga menjalankan audit tenaga secara berkala, melantik pengurus tenaga berdaftar, melaksanakan sistem pengurusan tenaga, dan menghantar laporan tahunan mengenai kecekapan dan penjimatan tenaga mengikut keperluan akta,” jelasnya.
Pelaksanaan NEEAP 2.0 turut disokong platform pemantauan digital berpusat bagi memudahkan pengumpulan, pengesahan dan analisis data penjimatan tenaga, manakala Piawaian Prestasi Tenaga Minimum (MEPS) akan terus diperluas bagi menggalakkan penggunaan produk yang lebih cekap tenaga.
Mad Zaidi berkata NEEAP 2.0 turut melengkapi pelaksanaan EECA 2024 yang menyediakan rangka kerja perundangan dan peraturan lebih kukuh bagi meningkatkan kecekapan tenaga negara.
EECA 2024 mengawal selia kira-kira 2,500 pengguna tenaga besar dalam sektor industri dan komersial yang menggunakan tenaga melebihi ambang 21,600 gigajoule setahun.
Pelaksanaan NEEAP 2.0 dijangka terus memperkukuh ekosistem ekonomi dan tenaga hijau Malaysia menerusi peningkatan kecekapan tenaga, penjimatan kos, pelaburan swasta serta pewujudan peluang pekerjaan, selain menyokong pembangunan rendah karbon dan kemampanan sumber tenaga negara.