Honda telah memulakan suatu perjalanan yang bersejarah pada awal Jun lalu dan mencipta Rekod Dunia Guinness untuk penjimatan bahan api kereta. Pada 25 Jun, misi ini telah tercapai di Aalst, Belgium.
Ketibaan mereka di bandar tersebut menandakan bahawa kumpulan pemandu-pemandu dari Honda ini telah memandu hampir 14,00km merentasi 24 buah negara Eropah dalam masa 25 hari. Tujuan mereka hanyalah satu, iaitu untuk memperlihatkan kepada dunia betapa jimatnya penggunaan bahan api enjin 1.6 i-DTEC (diesel) yang dipasang model Civic Tourer yang digunakan.
Kadar penggunaan bahan api (diesel) yang mereka catat bagi rekod ini? 2.82 liter/100km. Jarak yang ditempuhi adalah 13,498km.
Jarak ini bagaikan memandu ke Australia daripada UK; sambil itu hanya berhenti untuk mengisi tangki diesel hanya sembilan kali. Mengikut perkiraan pasukan, jumlah kos bahan api adalah €645 (ataupun RM2,705 mengikut kadar tukaran wang sekarang).
Kumpulan pemandu-pemandu Honda bagi misi ini adalah daripada bahagian European Research & Development (R&D) Honda dan teridir daripada Fergal McGrath dan Julian Warren.
Gelaran rasmi yang Guinness World Records berikan bagi apa yang telah dicapai misi ini adalah ‘ Lowest Fuel Consumption – all 24 contiguous EU countries’. Ianya diukur melalui unit liter/100km dan miles per gallon/mpg (batu/galon) yang dikira pada keseluruhan perjalanan ini.
Mengikut peraturan, kedua-dua pemandu mestilah berada di dalam kereta pada setiap kilometer perjalanan mereka dan perlu memandu sejauh lebih kurang 600km dan mengambil masa sekitar 7.5 jam setiap hari.

Berdasarkan kepada peraturan Guinness World Records, kereta tersebut mesti juga melalui 24 negara yang telah ditetapkan, mengumpul bukti-bukti termasuklah buku log bahan api (fuel log), bacaan GPS, video, gambar-gambar dan tanda tangan daripada saksi-saksi bebas untuk membuktikan bahawa mereka telah melengkapkan cabaran-cabaran yang diberikan.
Kereta yang digunakan mestilah kereta standard tanpa sebarang modifikasi yang dihakimi oleh saksi-saksi bebas pada permulaan dan penamat perjalanan. Bagi mengelakkan kelebihan pada pengurangan berat kereta, tangki minyak perlulah diisi penuh setiap kali minyak diisi.
Kesemua 24 negara yang telah dilalui kumpulan ini adalah seperti berikut: Austria, Belgium, Bulgaria, Croatia, Czech Republic, Denmark, Estonia, Finland, France, Germany, Greece, Hungary, Italy, Latvia, Lithuania, Luxemburg, Netherlands, Poland, Portugal, Romania, Slovakia, Slovenia, Spain dan Sweden.