Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, operasi sama turut menyaksikan penurunan kes kemalangan maut iaitu sebanyak 64 kes berbanding 104 pada tahun sebelumnya, dan jumlah kematian sebanyak 66 kes, berbanding 117 pada tahun sebelumnya.
Selain itu beliau berkata, statistik Jabatan Siasatan dan Pengangkutan Trafik PDRM mencatatkan sejumlah 124,286 saman telah dikeluarkan berbanding 183,033 saman pada Op Selamat sebelum ini.
“Jumlah tersebut menunjukkan penurunan, dan ia dengan jelas menggambarkan bahawa tahap kesedaran dan kefahaman masyarakat semakin baik terhadap peraturan dan undang-undang lalu lintas,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Op Selamat-23 sempena Tahun Baharu Cina 2025 di Bangunan Persada PLUS, di sini pada Selasa.
Berteraskan kepada prinsip Dasar Madani yang meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan, Razarudin berkata, PDRM mempraktikkan kaedah serampang dua mata dalam setiap tindakan penguatkuasaan.
Pelaksanaan kempen Op Selamat, katanya lagi, turut memberi tumpuan kepada aspek keselamatan harta benda dan premis kediaman yang ditinggalkan sepanjang tempoh musim perayaan.
“Pendekatan bersifat pencegahan ini merupakan usaha bersepadu semua elemen PDRM ke arah memastikan jaminan keselamatan dan ketenteraman awam yang holistik menerusi sinergi erat PDRM dan masyarakat.
“Ia dilaksanakan menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dan rondaan bersepadu oleh Mobile Patrol Vehicle (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB), elemen balai dan lain-lain rondaan,” katanya lagi.
Razarudin berkata, rondaan bersepadu yang dijalankan telah memberi impak positif apabila sepanjang tempoh Op Selamat ke-23, hanya 202 kes jenayah pecah rumah direkodkan berbanding 265 kes dilaporkan pada tahun lalu dengan penurunan sejumlah 63 kes.
Tambahnya lagi, PDRM tidak akan berputus asa melahirkan pelbagai idea baharu dan melaksanakan penambahbaikan terhadap pendekatan yang digunapakai.
“Kerjasama erat segenap lapisan masyarakat menerusi pelbagai program pencegahan jenayah, pelancaran kempen kesedaran dan meningkatkan kekerapan rondaan di kawasan kediaman dan premis perniagaan diatur gerak secara agresif bagi mengoptimumkan keamanan dan kesejahteraan awam,” katanya lagi.