Ringkasan AI
- Pengoperasian Puspakom cawangan Wangsa Maju dilanjutkan hingga 30 Jun 2026 kerana pembinaan cawangan baharu di Bukit Beruntung belum siap.
- Lokasi Puspakom Wangsa Maju berhampiran sekolah menyebabkan kesesakan, dan beberapa syarikat baharu akan mula beroperasi awal tahun depan untuk mengurangkan masalah ini.
- Kerajaan sedang memuktamadkan kontrak pencarian pesawat MH370 dengan Ocean Infinity dan akan memulakan semula pencarian di kawasan baharu di Selatan Lautan Hindi.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata ia berikutan pembinaan cawangan baharu Puspakom di Bukit Beruntung bagi menggantikan cawangan Wangsa Maju masih belum dapat disiapkan oleh pihak kontraktor.
"Kerja-kerja pemindahan operasi di Bukit Beruntung sepatutnya (dilaksanakan) akhir bulan Jun ini. Kini Kementerian Pengangkutan bersetuju untuk melanjutkan pengoperasian Puspakom Cawangan Wangsa Maju di tapak ini hingga 30 Jun 2026, (iaitu) sehingga pembinaan di Bukit Beruntung selesai," katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan ke pusat pemeriksaan berkenaan di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Datuk Aedy Fadly Ramli.
Loke berkata usaha memindahkan pengoperasian Puspakom cawangan Wangsa Maju telah lama dibincangkan susulan kedudukannya yang berhampiran dengan beberapa buah sekolah.
"Terdapat satu lorong kecil menuju ke Puspakom ini dan ia berkongsi laluan dengan sekolah, saya banyak menerima aduan daripada guru dan ibu bapa pelajar memberitahu mereka tidak dapat hadir ke sekolah pada waktu yang tepat kerana jalan menuju ke sekolah telah dipenuhi dengan kenderaan termasuk kenderaan berat sejak awal pagi kerana hendak melakukan pemeriksaan," katanya.
Loke menjangka menjelang awal tahun depan kesesakan di kawasan berkenaan akan dapat dikurangkan susulan beberapa syarikat baharu yang mendapat kelulusan untuk melaksanakan Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) akan mula beroperasi.
Sementara itu mengulas mengenai pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370, Loke berkata pihaknya sedang giat memuktamatkan kontrak pencarian dengan Ocean Infinity (United Kingdom).
"Apabila kita tandatangan (kontrak pencarian) kita akan beritahu," katanya.
Pada Sabtu lepas Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan memaklumkan selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 13 Dis lepas, kerajaan bersetuju menerima cadangan Ocean Infinity (United Kingdom) bagi memulakan semula operasi pencarian di kawasan baharu seluas kira-kira 15,000 kilometer persegi di Selatan Lautan Hindi.
-- BERNAMA
